[ Kaki Fitnah ] Rahsia disebalik logo Coca Cola adalah Fitnah 100 %

 

Kalau tidak suka minum Coca Cola jangan fitnah. Kenapa penulis katakan semua ini adalah fitnah ? Sebenarnya dalam tulisan Arab  ' Tiada Muhammad, Tiada Mekah ' atau dalam bahasa antarabangsa ' English ' ia berbunyi seperti ini ' No Muhammad, No Mecca ' betul ?

Biar penulis terangkan kenapa ia adalah fitnah semata -semata. Jangan cepat percaya jika tidak tahu apa-apa. Inilah masalah orang yang mudah dan cepat termakan fitnah. Berikut adalah penerangan penulis :

Tiada / No - لا
Muhammad - محمد
Mekah / Mecca - مكة

Kesimpulannya, ' No Muhammad, No Mecca ' dalam bahasa Arab adalah seperti ini لا محمد لا مكة. Sedarkah anda bahawa anda telah percaya dengan kaki fitnah diluar sana. Mereka adalah kaki fitnah. Kerja mereka adalah buat fitnah. Anda faham ? Macam mana penulis tahu tentang semua ini ? Gunalah kemudahan yang ada seperti Google Translate atau Bing Translator. Kalau tidak percaya dengan Google Translate atau Bing Translator apa salahnya guna Kamus Elektronik ? Terjemahan adalah tetap sama.Tidak akan berubah.



[ Gempar ] Fasha Sandha dan Dazrin Kamarudin di tembak mati ?


Pelakon Fasha Sandha dan Dazrin ditembak di kawasan parkir berhampiran sebuah restoran di Kota Damansara.

Babak tembak-menembak hanyalah lakonan yang membabitkan dua pelakon utama drama bersiri Miranda, namun ia mengundang salah faham orang ramai yang terkejut dengan bunyi tembakan itu.

Pengambaran drama itu terpaksa dihentikan kira-kira satu jam apabila didatangi dua kereta polis yang menerima aduan daripada orang ramai menyangka ia kejadian jenayah sebenar.Menurut Pengarahnya Along Kamaludin, semuanya salah faham saja, sebenarnya dalam babak itu, Dazrin dan Fasha ditembak seseorang dari dalam kereta.

Kami buat babak itu di kawasan parkir bawah tanah sebenarnya, tapi tak sangka pula ada pengunjung restoran berhampiran terdengar dan menyangka ia kejadian jenayah sebenar.


Along berkata, kru dan pelakon terkejut didatangi polis yang menerima aduan orang awam selepas terdengar bunyi tembakan.

Bila musim sejuk bertukar ulat, bila musim panas jadi tumbuhan


Adakah anda pernah mendengar rumput ulat ? Pernahkah anda membayangkan bagaimana bentuknya ? Tapi itulah nama tumbuhan unik dan menakjubkan yang saat ini hanya boleh hidup di dataran tinggi Qingzhang 3500 meter dari atas permukaan laut. Ajaibnya, rumput ulat yang mempunyai nama latin Cordyceps ini merupakan kombinasi ulat dan rumput.

Selama musim sejuk, cordyceps hidup di dalam tanah seperti ulat, sedangkan di musim panas dia akan keluar dari tanah dan tumbuh menjadi tanaman kecil.

Hal Unik lain adalah cara mendapatkan tumbuhan aneh ini, si pencabut rumput dipercayai tidak akan dapat melihatnya dengan posisi membongkok atau berdiri. Mereka harus merangkak dan merayap perlahan-lahan agar boleh melihat dan mencabutnya. Kerana khasiatnya yang dipercayai boleh mengubati berbagai macam penyakit, seperti buah pinggang, ejakulasi awal dan bahkan kanser, tanaman ini sekarang banyak diburu dan konon menjadi ubat herba termahal di dunia




Pluralisme, tolak ansur budaya dan strategi dakwah


 

Umum mengetahui agama Islam tersebar di rantau Timur Tengah dengan cara yang berbeza berbanding penyebaran Islam di sini. Ini kerana penyebaran Islam di rantau Nusantara ialah menerusi seni dan budaya. Bukan melalui peperangan.

Ambil sahaja gerakan dakwah Wali Songo sebagai contoh. Setiap seorang daripada mereka mempunyai bentuk perjuangan budaya yang berbeza. Jika kita menyorot Sunan Ampel anak Maulana Malik Ibrahim, beliau menjadikan slogan Mo Limo  atau “moh main, moh ngombe, moh maling, moh madat, moh madon” sebagai strategi dakwahnya.

Ia adalah seruan untuk tidak berjudi, tidak minum minuman keras, tidak mencuri, tidak menggunakan dadah, dan tidak berzina. Persoalan akhlak ditekankan mengatasi persoalan fikah dan akidah. Ini kerana akhlak itu sendiri dapat menjadi satu dakwah.

Dakwah estetika

Hal yang sama terlihatkan pada Sunan Bonang. Beliau dimaklumi suka berkunjung ke daerah-daerah terpencil di Tuban, Pati, Madura dan Pulau Bawean untuk berdakwah dalam kalangan masyarakat Hindu. Dalam kunjungan beliau yang memakan masa beberapa lama itu Sunan Bonang sangat suka membuka atau menggali sumber air di tempat-tempat yang dikunjungi. Ajaran Sunan Bonang lebih kepada kesufian dengan menekankan falsafah cinta atau ‘isyq.

Untuk mereka yang mendalami subjek kesufian, ajaran Sunan Bonang dapat dihubungkan dengan ajaran Maulana Jalaludin Rumi, penyair dan ahli sufi Parsi yang menetap di Konya, Turki. Hal yang paling menarik, ajaran tersebut disampaikan oleh Sunan Bonang melalui saluran kesenian yang disukai masyarakat. Dalam hal ini, Sunan Bonang bekerjasama dengan murid kesayangannya, Sunan Kalijaga.

Bukan itu sahaja Sunan Bonang juga dikenali sebagai seorang pengarang. Beliau banyak melahirkan karya sastera yang dinamai suluk, atau tembang tamsil. Salah satu yang paling tersohor adalah “Suluk Wijil” yang dikatakan terpengaruh dengan kitab Al Shidiq karya Abu Sa’id Al Khayr. Kalau suluknya ditekuni, pembaca akan mendapati beliau banyak menggunakan perbandingan cermin, bangau atau burung laut. Pendekatan begini turut digunakan oleh ulama silam lain seperti Ibnu Arabi, Fariduddin Attar, Rumi serta Hamzah Fansuri.

Tidak cukup dengan itu, Sunan Bonang telah menjadi komposer yang terkenal dengan menggubah banyak muzik gamelan Jawa yang pada saat itu cukup pekat dengan estetika Hindu.  Gubahan gamelan Sunan Bonang ada unsur zikir yang menggalakkan kecintaan kepada kehidupan alam akhirat.  Tembang yang paling terkenal daripada beliau ialah Tombo Ati.

Luahan kesenian rohani

Lebih istimewa Sunan Bonang juga bermain drama, atau wayang kulit. Selalunya penonton akan khusyuk dengan pementasan beliau. Beliau suka menulis sebuah lakon seraya memasukkan tafsir ayat al-Quran dan ajaran-ajaran Islam. Sebagai contoh, di dalam ajaran Hindu Jawa terdapat sebuah kisah perseteruan Pandawa-Kurawa yang digemari umum, Sunan Bonang mencipta semula kisah tersebut lantas menjadikannya drama peperangan antara nafi atau peniadaan dan ‘itsbat atau peneguhan. Secara tidak disedari, beliau telah mengajar mengenai dua kalimah syahadah, atau prinsip tauhid itu sendiri.

Sunan Drajat atau Raden Qosim turut mengenengahkan seni suluk sebagai saluran berdakwah. Antara suluk petuah yang mengakar dalam diri orang Jawa ialah ajaran ‘berilah tongkat pada si buta, beri makan pada yang lapar, beri pakaian pada yang telanjang’. Sunan Drajat menggunakan aspek akhlak tersebut dengan membanaykkan pertolongan buat anak-anak yatim piatu dan fakir miskin.

Sementara itu, Sunan Giri yang dipanggil orang Jawa sebagai Raden Paku, atau nama betulnya Muhammad Ainul Yakin turut mengemukakan kesenian sebagai wadah dakwahnya. Sunan Giri adalah Wali Songo yang bukan sahaja berdakwah tetapi ikut terlibat dengan bidang politik, pendidikan dan tentu, kebudayaan. Pondok atau pesantren beliau Giri Kedaton sangat berpengaruh sehingga dilantik menjadi penasihat dan menteri pertahanan Kesultanan Demak.

Hal ini tercatat dalam Babad Demak. Bukan itu sahaja Sunan Giri juga diterima sebagai mufti, untuk seluruh Tanah Jawa kala itu. Anak murid Sunan Giri berdakwah pula di Sulawesi Selatan, namanya Datuk Ribandang. Beliau dinamakan Sultan Abdul Fakih dan juga merupakan seorang seniman yang luar biasa. Bahkan ada permainan kanak-kanak seperti jelungan, jamuran, lir-ilir dan cublak suweng disebut sebagai hasil seni Sunan Giri yang diteruskan oleh beliau.

Dalam pada itu, Sunan Gunung Jati pula menumpukan kerja-kerja kebajikannya sambil berdakwah. Beliau disifatkan sebagai arkitek yang menggamamkan pengikut agama Hindu waktu itu kerana memperkenalkan seni bina yang hebat-hebat. Paling unik sekali beliau juga membangunkan infrastruktur berupa jalan-jalan yang menghubungkan antara wilayah untuk memudahkan orang ramai. Ekoran dari itu, masyarakat Hindu-Jawa pada waktu itu lekas tertawan hati mereka dengan Islam.

Sunan Kudus atau nama betulnya Jaffar Shadiq juga seorang pencipta senibina yang mempesonakan. Kaedah Sunan Kudus mendekati masyarakat setempat yang masih Hindu pada zamannya ialah dengan memanfaatkan lambang-lambang Hindu dan Buddha. Hari ini jika kita mengamati masjid Kudus kita akan menemui bentuk menara, gerbang dan pancuran juga tempat berwudhu yang melambangkan lapan jalan Buddha.

Kompromi budaya, bukan akidah

Jangan cepat melenting dahulu. Ia bukanlah pluralisme agama tetapi merupakan kompromi budaya yang tidak bertentangan dengan Islam.  Kompromi budaya (bukan akidah) adalah satu lagi strategi dakwah yang wajar dikuasai oleh pendakwah hari ini.

Sebagai contoh, pada satu masa Sunan Kudus ingin mengajar tafsir surah al-Baqarah, beliau dengan sengaja memancing masyarakat untuk datang ke masjid dengan menambatkan seekor sapi yang diberi nama Kebo Gumarang di halaman masjid. Orang-orang Hindu yang mengagungkan sapi atau lembu singgah sekejap di luar masjid dan mendengar ceramah agama Sunan Kudus tentang surah Al Baqarah yang bererti sapi betina.

Sunan Kudus dikenali sangat suka bercerita untuk meraih perhatian madh’unya. Menerusi cerita sapi sedemikianlah ramai penganiut Hindu-Jawa memeluk Islam. Sunan Kudus turut hebat sebagai Panglima Perang Kesultanan Demak. Beliau misalnya pernah berperang di bawah kepemimpinan Sultan Prawata, bertempur menentang Adipati Jipang.

Jika Sunan Kudus menggunakan pendekatan ‘cerita’, Sunan Muria pula berdakwah dengan lagu-lagu, mungkin dapat diandaikan sebagai nasyid. Lagu Sinom dan Kinanti yang masyhur dalam kalangan orang Jawa adalah ciptaan beliau. Dan tentu, bapa Sunan Muria iaitu Sunan Kalijaga adalah yang paling terkenal sekali jika kita menyinggung persoalan dakwah dengan kesenian. Beliau menggunakan seni ukir, wayang wong, gamelan, serta seni suara suluk sebagai wahana dakwah. Sunan Kalijaga mencipta busana Baju Takwa, beberapa perayaan seperti sekatenan, grebeg maulud, Layang Kalimasada, dan skrip drama Petruk Jadi Raja. Lanskap pusat kota Kraton yang ada di Jogjakarta hari ini turut diyakini sebagai karya Sunan Kalijaga.

Yang paling mustahak untuk dinyatakan di sini ialah metod dakwah Sunan Kalijaga dan kelapan-lapan wali ini sangat efektif.  Sebahagian besar adipati atau pembesar Hindu di Jawa telah memeluk Islam di tangan Sunan Kalijaga. Antara yang berpengaruh ialah Adipati Padanaran, Kartasura, Kebumen, Banyumas, serta Pajang.

Hari ini, segala strategi dakwah dengan kompromi budaya ini akan dikelirukan dengan aksi pluralisme. Islam yang mendapat dokongan lokal adalah Islam yang tidak memaksakan. Tanpa dokongan budaya tempatan, agama Islam menjadi sebuah agama yang asing. Hari ini, pendakwah Salafi berusaha membuang segala unsur lokal ini dengan alasan ia adalah bidaah.

Toleransi dan kompromi budaya yang pernah disaksikan oleh rantau ini digugat dengan pendekatan keras ala Timur Tengah yang sama sekali tidak berhubungan dengan kita. Itulah puncanya gerakan Salafi, atau nama lainnya Wahabi dipandang serong oleh masyarakat dan menjadi duri dalam daging.

Jangan kelirukan penganut agama Kristian



“Mengapakah penganut agama Kristian dan gereja sengaja mahu menimbulkan kemarahan dan rasa tidak selesa penganut agama Islam dengan tiba-tiba bertegas mahu menggunakan kalimah ‘Allah’ dalam kitab Bible versi Bahasa Malaysia?”

Mungkin demikian antara persoalan dan pertanyaan yang muncul dalam fikiran orang awam sejak belakangan ini. Hal ini tidaklah menghairankan kerana gambaran yang diberikan oleh kebanyakan media arus perdana adalah seolah-olah orang Kristian di Malaysia tiba-tiba sahaja mula menggunakan kalimah “Allah”.

Satu lagi sentimen atau hasutan yang disebarkan secara amat halus oleh puak tertentu adalah bahawa “bahasa Melayu” adalah milik “orang Melayu” dan apa-apa bahan yang ditulis menggunakan bahasa itu ditujukan khusus kepada orang Melayu.

Akibat hasutan terancang yang dilakukan puak etnosentrik, ultra kiasu, fanatik dan rasis tertentu, orang ramai terus terkeliru dan tidak tahu fakta sebenar yang sebenarnya berada di depan mata.

Makalah ini tidak bertujuan mempertikaikan atau memperlekeh mana-mana pihak – khususnya mahkamah dan agama Islam – tetapi sekadar berkongsi pelbagai maklumat (fakta) yang wajar diketahui umum. Sekurang-kurangnya pembaca akan tahu pelbagai perkara yang mustahil disebarkan menerusi media arus perdana yang dikuasai golongan politik tertentu.

(Untuk mengelakkan sebarang masalah yang tidak diingini, biar saya nyatakan bahawa kandungan makalah ini mungkin tidak sesuai bagi sebahagian pembaca beragama Islam kerana terdapat pelbagai unsur dan fakta mengenai agama Kristian. Anda boleh membaca makalah ini atas pilihan sendiri. Harap maklum.)

Presiden Pertubuhan Peribumi Perkasa (Perkasa), Ibrahim Ali dilaporkan menghasut orang Melayu membakar kitab Bible versi “bahasa Melayu” di Pulau Pinang pada Januari 2013 dan tindakan menghasut itu disokong penuh oleh penaung Perkasa, Tun Dr Mahathir Mohamad (Free Malaysia Today, 6 Februari 2013).

Selewat-lewatnya sejak awal tahun ini, saya berusaha mendapatkan maklumat yang tepat dan objektif daripada rakan-rakan pelbagai kaum beragama Kristian berhubung penggunaan kalimah “Allah” dalam Al-Kitab (Injil/Bible) versi Bahasa Malaysia.

Untuk rekod, rakan-rakan pelbagai kaum yang saya maksudkan bukan kelompok yang baru memeluk agama Kristian. Sebaliknya mereka adalah daripada keluarga yang beragama Kristian sejak turun-temurun; jauh sebelum kelahiran Ibrahim Ali, Zulkifli Noordin dan Ridhuan Tee Abdullah.

Rakan-rakan beragama Hindu, Sikh, Buddha, Islam dan sebagainya yang berfikiran matang turut berkongsi pandangan dalam dialog santai mengenai isu ini dari semasa ke semasa. Usah lupa bahawa Nabi Muhammad juga menggalakkan dialog antara agama.

Menangkis tohmahan, hasutan dan penyelewengan fakta


Pada 16 Mei 2013, Persekutuan Kristian Malaysia (CFM) yang beribu pejabat di Petaling Jaya mengedarkan kenyataan bertajuk “Bila, Mengapa dan Bagaimana Kristian Menggunakan Kata Allah” untuk rujukan dan panduan para penganut agama Kristian.

Sebagai seorang penganut agama Hindu yang mengamalkan konsep inter-faith serta mendalami pelbagai agama utama di Malaysia, saya mendapati bahan edaran itu sangat berguna dalam usaha menangkis pelbagai tohmahan, kritikan, penyelewengan fakta dan hasutan yang dilakukan puak tertentu.

Suatu fakta menarik dan penting untuk diperhatikan adalah berhubung penterjemahan kitab suci agama Kristian kepada Bahasa Malaysia. Gambaran umum yang cuba diberikan puak tertentu adalah seolah-olah Bible versi Bahasa Inggeris diterjemah kepada Al-Kitab versi Bahasa Malaysia.

Untuk rekod, Al-Kitab adalah terjemahan berdasarkan teks asal Bahasa Ibrani dan Yunani. Kita perlu menyedari serta menerima hakikat (fakta) bahawa kata/kalimah “Allah” dalam Bahasa Ibrani dan Arab mempunyai bentuk akar yang sama.

Kitab Bible dalam versi Bahasa Arab juga menggunakan kalimah “Allah”. Sehingga hari ini, tiada sebarang masalah di negara-negara Islam lain apabila kalimah “Allah” dikekalkan dalam kitab suci agama Kristian. (Mungkinkah keimanan penganut Islam di negara-negara itu lebih kuat berbanding orang Melayu di Malaysia?)

Menurut kenyataan CFM, lebih 60 peratus penganut agama Kristian daripada kalangan masyarakat pelbagai kaum di Malaysia pada masa kini membaca Al-Kitab versi Bahasa Malaysia, menggunakan Bahasa Malaysia secara lazim serta berdoa juga dalam Bahasa Malaysia. Usah kita lupa – atau buat-buat lupa – bahawa Bahasa Malaysia adalah bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan kita.

Malah, Al-Kitab versi “bahasa Melayu” yang mula-mula diterjemahkan pada tahun 1731 sudah sedia menggunakan kalimah “Allah”. Maka, jangan percaya pada fitnah, pembohongan dan hasutan yang disebarkan puak tertentu bahawa gereja-gereja di Malaysia tiba-tiba mula menggunakan kalimah “Allah” untuk mengelirukan kaum tertentu dan memujuk kaum tertentu memeluk agama Kristian.

Kitab salat-as-sawai (Katekismus Kristian) versi “bahasa Melayu” ditulis pada sekitar tahun 1514 dan terbit (dicetak) hampir 30 tahun kemudian. Pada 1629 pula terbit Injil Matius versi “bahasa Melayu”. Kitab-kitab ini (serta banyak lagi) menggunakan kalimah “Allah” apabila merujuk kepada Tuhan atau Pencipta.

“Fakta yang tidak boleh dinafikan adalah bahawa sejak agama Kristian datang ke Nusantara (Kepulauan Melayu) lebih 500 tahun dahulu, kalimah ‘Allah’ sudah digunakan dalam teks dan kitab agama Kristian yang diterjemah ke bahasa Melayu yang merupakan bahasa perantaraan (lingua franca) pada waktu itu,” kata Perzeus James, pensyarah di Sekolah Perakaunan dan Perniagaan, Kolej FTMS, Bukit Jalil.

Malah, semua orang yang tahu perkembangan tamadun manusia dan agama-agama utama dunia pasti akan menyedari dan mengakui hakikat bahawa kalimah “Allah” sudah digunakan jauh sebelum kelahiran Rasulullah dan sebelum baginda menerima wahyu pertama yang disampaikan oleh Jibril.

Jangan kelirukan penganut agama Kristian

Dalam pelbagai hujah di media arus perdana dan dalam kalangan puak tertentu, pandangan (kebimbangan) yang diluahkan adalah bahawa genarasi muda Melayu akan “keliru” dan keimanan mereka tergugat sekiranya kalimah “Allah” digunakan dalam Al-Kitab versi Bahasa Malaysia.

Pernahkah kita terfikir atau berfikir tentang kekeliruan yang (mungkin) boleh wujud dalam kalangan penganut agama Kristian di Malaysia sekiranya penggunaan kalimah “Allah” oleh orang “Bukan Islam” (Tidak Islam) diharamkan?

Kebimbangan ini turut dikongsi CFM dan beberapa rakan beragama Kristian yang saya temui. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, “Allah” adalah istilah Bahasa Arab bagi “Tuhan (Yang Esa)” sementara “Tuhan” adalah “Allah yang mencipta alam semesta”.

Kamus Pelajar Bahasa Malaysia (edisi pertama dan kedua) juga mengesahkan bahawa “Tuhan” membawa makna “Allah yang mencipta alam semesta”. Sementara itu, Kamus Inggeris-Melayu Dewan menjelaskan “God” sebagai “Tuhan; (in Islam) Allah”.

Ada pihak yang pernah bermati-matian menegaskan bahawa semua perkataan dan istilah dalam Kamus Dewan “hanya harus dilihat dari perspektif pandangan Melayu dan bukan dari kaca mata kaum-kaum lain” (The Malaysian Insider, 18 April 2011).

Maknanya, terbukti bahawa “dari perspektif pandangan Melayu”, tiada salahnya jika kalimah “Allah” digunakan apabila merujuk kepada Tuhan. (Kecuali ada puak yang mahu menegaskan dan menyebarkan fahaman – ajaran sesat – bahawa ada lebih daripada satu Tuhan!)

Di sisi yang lain pula, CFM berpendirian bahawa dalam Bahasa Malaysia, “Allah” bermakna “Tuhan” dan “Tuhan” bermaksud “Lord”.

“Apabila kita membaca Al-Kitab, ‘Allah’ dan ‘Tuhan’ mempunyai konotasi yang berbeza. Oleh itu ‘Allah’ (dalam Al-Kitab) tidak boleh digantikan dengan ‘Tuhan’,” kata kenyataan rasmi itu.

Sejak zaman kanak-kanak di Aulong Lama, Taiping, saya sering ke gereja (selain ke rumah-rumah ibadat agama-agama lain). Sesungguhnya penganut Kristian menggunakan istilah “Tuhan” (Lord) apabila merujuk kepada Jesus (Nabi Isa) iaitu “Lord Jesus” (Tuhan Yesus).
Maka, secara logik, sekiranya kalimah “Allah” (God) dalam Al-Kitab ditukar/diubah menjadi “Tuhan” atas desakan puak-puak tertentu yang takut bayang-bayang sendiri, maka akan timbul kekeliruan pula dalam kalangan penganut agama Kristian. Kebimbangan yang berasas ini turut dilahirkan CFM dan beberapa rakan beragama Kristian.

Kita sering diminta supaya “simpati” terhadap nasib anak-anak Melayu yang mungkin terkeliru jika kalimah “Allah” dikekalkan dalam Al-Kitab versi Bahasa Malaysia – seolah-olah anak-anak Melayu di Malaysia memang sangat suka membaca kitab itu!

Apa kata kita menggunakan “empati” untuk memahami kekeliruan yang bakal wujud dalam kalangan anak-anak muda beragama Kristian jika istilah “Tuhan” digunakan untuk menggantilah kalimah “Allah” dalam Al-Kitab. Jangan lupa bahawa istilah “Tuhan” (Lord) sudah sedia ada dalam kitab berkenaan bagi merujuk kepada Jesus.

Larangan tambahan bakal menyusul ?

Contoh yang dikemukakan oleh CFM boleh membantu kita memahami hakikat ini. Dalam Yesaya (41:13, 43:3 dan 51:51), terdapat ayat “For I am the Lord, your God …”

Ayat berkenaan diterjemahkan sebagai “Akulah Tuhan, Allah kamu …” dalam Al-Kitab: Berita Baik (2001) terbitan rasmi The Bible Society of Malaysia.

“Ia akan mewujudkan situasi tidak masuk akal jika orang Kristian perlu menterjemahkan frasa ‘Lord, God’ (Tuhan, Allah) sebagai ‘Tuhan, Tuhan’. Pengulangan kata ‘Tuhan, Tuhan’ menunjukkan sifat jamak dalam Bahasa Malaysia; dan seolah-olah memperlihatkan bahawa agama Kristian percaya akan banyak Tuhan. Ini adalah sesuatu yang tidak boleh diterima,” kenyataan CFM bertarikh 16 Mei 2013 menegaskan.

Rata-rata penganut agama Kristian – serta rakan-rakan “Bukan Kristian” yang memahami ajaran sebenar agama masing-masing – merasakan bahawa jika hak menggunakan kalimah “Allah” dalam Al-Kitab dinafikan, tindakan itu sebenarnya bertentangan dengan hak kebebasan beragama mengikut Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 11 (3) menyatakan dengan jelas bahawa setiap kumpulan agama mempunyai hak untuk menguruskan hal ehwal berkaitan agama masing-masing. Selain daripada itu, usah kita lupa bahawa apa-apa fatwa (arahan) yang dikeluarkan tidak terpakai terhadap orang Bukan Islam (Tidak Islam).

Penganut agama Kristian juga bimbang bahawa sekiranya mereka akur pada “arahan” dan “larangan” menggunakan “Allah” dalam Al-Kitab, maka arahan dan larangan susulan akan datang bertali-arus.

Misalnya, penggunaan istilah “Al-Kitab”, “firman”, “rasul”, “iman”, “ibadah”, “Injil”, “wahyu”, “nabi”, “syukur”, “solat” dan “doa” yang sebenarnya sedang cuba disekat oleh pihak tertentu sejak 1986.

“Jika gereja-gereja di Malaysia bersetuju untuk berhenti menggunakan kata ‘Allah’, bermakna hak untuk menyunting kitab sudi agama kami telah diberikan kepada sebuah kerajaan sekular. Ini akan menjadi suatu perkara yang memalukan dan kejadian yang belum pernah berlaku pada mana-mana agama dan kerajaan,” kata kenyataan CFM yang tentu sahaja tidak disiarkan media arus perdana.

Saya memuji ketegasan CFM dalam mempertahankan hak terhadap kandungan Al-Kitab dan hak orang Kristian menggunakan Bahasa Malaysia. Dalam pada itu, sama-samalah kita berharap dan berdoa (mengikut agama masing-masing) supaya puak tertentu yang masih takut pada bayang-bayang sendiri akan segera mendapat petunjuk daripada Tuhan Yang Esa.

Baru-baru ini, apabila saya mengulangi pendirian bahawa satu-satunya pemimpin Islam yang paling saya kagumi ialah Nabi Muhammad, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) mempamerkan “pemikirannya yang begitu sempit” dan “dakwah negatif” dengan menyeru saya “kenapa tidak sahaja memeluk Islam” (19 Julai 2013).

Memandangkan pada kali ini saya mengemukakan hujah-hujah yang menyokong pihak gereja dan agama Kristian, saya mengandaikan bahawa pertubuhan itu akan segera menyeru saya memeluk agama Kristian.

Apa-apa pun, terima kasih sahajalah atas keprihatinan dan minat anda terhadap pegangan agama saya. “Untukmu agamamu, dan untukku agamaku.” (Surah al-Kafirun, ayat 6)


Bila,mengapa dan bagaimana Kristian menggunakan kata ' Allah '


Tujuan dokumen ini adalah untuk menjelaskan secara ringkas kepada orang-orang Kristian yang tidak faham bila, kenapa dan bagaimana Gereja-gereja di Malaysia menggunakan kata ‘Allah’. Ia juga untuk orang Kristian yang keliru tentang bagaimana harus bertindak apabila berhadapan dengan orang bukan Islam yang jahil tentang penggunaan kata ‘Allah’ dalam agama Kristian.

Terdapat banyak (tidak tepat) kenyataan bukan Kristian yang mendakwa bahawa kita tidak boleh menggunakan kata ‘Allah’ kerana ia adalah istilah eksklusif untuk agama Islam yang merujuk kepada Tuhan Islam dan hanya boleh digunakan oleh orang Islam. Ia merupakan masalah pelik di Malaysia kerana di negara-negara Islam yang lain , di negara Arab – penganut Kristian berbahasa Arab menggunakan kata ‘Allah’.

Umat Kristian sendiri kadang-kadang jahil kecuali jika kita berdoa dalam Bahasa Malaysia, kita berdoa kepada 'Allah' dalam bahasa kita sendiri. Sebagai contoh, dalam Bahasa Inggeris, kita tidak menggunakan kata ‘Allah’.

Walau bagaimanapun, lebih 60% daripada Kristian di Malaysia hanya bercakap dalam Bahasa Malaysia, dan perkataan yang digunakan untuk Tuhan di dalam kitab Bahasa Malaysia (Al-Kitab) sejak terjemahan pada tahun 1731, adalah 'Allah'. Kata ini digunakan oleh Bumiputera Kristian yang menggunakan Bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantara mereka terutama di Sabah, Sarawak, Semenanjung Malaysia, dan masyarakat Baba di Melaka

Sejarah Makna dan Penggunaan

1. Kata 'Allah' adalah istilah yang digunakan bagi Tuhan yang tertinggi di antara tuhan-tuhan, sebelum wahyu Islam. The Shorter Encyclopedia of Islam, ed. H.A.R. Gibb & J. H. Kramer dan The Oxford Encyclopedia of the Modern Islamic World, ed. John L. Esposito, menyokong dan mengesahkan pernyataan ini.

2. Dari segi sejarah, penganut Kristian berbahasa Melayu di Asia Tenggara telah menggunakan 'Allah' untuk merujuk kepada Tuhan. Buktinya adalah seperti berikut :

• Wujudnya Kitab salat as sawai atau Katekismus Kristian di dalam Bahasa Melayu telah ditulis pada tahun 1514 dan diterbitkan sekitar 1545,

• Telah ada versi cetakan Injil Matius di dalam Bahasa Melayu oleh A.C. Ruyl pada tahun 1629,

• Kamus Melayu-Latin telah dicetak di Roma pada tahun 1631 (Dictionarium The Malaicum-Latinum dan Latinum - Malaicum)

• Terjemahan Kitab Kejadian oleh D. Brouwerius (1662),

• Terjemahan M. Leijdecker (1733),

• Terjemahan H.C. Klinkert (1879),
• Terjemahan W.A. Bode (1938), dan

• Pada tahun 1731-1733, telah wujud Al-Kitab Bahasa Melayu lengkap mengandungi kata ‘Allah’ iaitu terjemahan untuk ‘God’.

3. Oleh itu, sejak awal lagi, kata ‘Allah' telah digunakan dalam liturgi, doa-doa dan ibadat orang-orang Kristian yang bertutur dalam Bahasa Malaysia. Tetapi selama berabad-abad itu, tidak ada bantahan atau kegemparan mengenai penggunaan kata 'Allah'. 

Bahasa


Bantahan terhadap penggunaan kata 'Allah' kebanyakannya berpunca dari wacana politik, atau di kalangan mereka yang membantah dengan tuduhan bahawa penterjemahan dan penggunaan kata ‘Allah’ baru sahaja berlaku. Ini tidak benar kerana sebab-sebab berikut:

1. Dalam bahasa-bahasa Semitik, kata 'Allah' telah digunakan secara meluas di Timur Tengah sejak abad ke-5 SM, sehingga masa perkembangan Islam dan penyebaran Bahasa Arab pada abad ke-7 M.

2. Penterjemahan Al-Kitab bukan menterjemah dari Bahasa Inggeris tetapi berdasarkan teks-teks dari Al-Kitab Ibrani dan teks Yunani. Dalam Bahasa Ibrani, kata 'Allah' mempunyai bentuk akar yang sama seperti Bahasa Arab. Jadi, apabila kata 'Allah' pertama kali diterjemahkan ke dalam Bahasa Malaysia, para penterjemah sebenarnya mengikut penggunaan Bahasa Arab Kristian dan mengekalkan perkataan 'Allah'.

3. Seperti yang dinyatakan sebelum ini, kata 'Allah' digunakan sebelum kedatangan Islam. Ia bukan ciptaan umat Islam dan kewujudannya tidak bermula di dalam Al-Quran.

Haruskah Kristian Menggantikan kata ‘Allah’ dengan ‘Tuhan’ ?


Ini tidak mungkin atas sebab-sebab berikut :

1. Dalam Bahasa Melayu, 'Allah' bermakna ‘Tuhan’ dan ‘Tuhan’ bermaksud ‘Lord’. Ini jelas apabila kita membaca Al-Kitab, ‘Allah’ dan ‘Tuhan’ digunakan di dalam Al-Kitab, dan kedua-duanya mempunyai konotasi yang berbeza. Oleh itu 'Allah' tidak boleh digantikan dengan 'Tuhan’.

2. Kata Tuhan telah digunakan untuk Yesus Kristus iaitu Tuhan Yesus. Sekiranya Kristian menggantikan kata 'Allah' untuk Tuhan, ia menimbulkan banyak kekeliruan dan tidak keruan yang merujuk kepada Tuhan dan Yesus
kerana:

• Makna ‘Allah’ dan Tuhan adalah berbeza.

• Ini sangat jelas melalui satu contoh sahaja. Di dalam Yesaya, Bab 41 dan Ayat 13; 43:3 dan 51:51. “For I am the LORD, your GOD...” diterjemahkan sebagai “Akulah Tuhan, Allah kamu...”(ALKITAB : Berita Baik. 2001. Edisi Kedua. Terbitan The Bible Society of Malaysia).

• Ia akan mewujudkan situasi tidak masuk akal jika orang Kristian perlu menterjemahkan frasa alkitabiah 'Lord God’ sebagai Tuhan Tuhan. Pengulangan kata Tuhan Tuhan menunjukkan jamak di dalam Bahasa Malaysia, ia seolah-olah memperlihatkan bahawa agama Kristian percaya akan banyak tuhan, ini adalah sesuatu yang tidak boleh diterima.

• Umat Kristian berbahasa Malaysia tidak akan dapat mengesahkan ketuhanan Yesus Kristus dan mengajar doktrin Tritunggal kerana dua perkataan ini adalah kata-kata asas 

Kesan-kesan Larangan Kata ‘Allah’

1. Dinafikan untuk menggunakan kata ‘Allah’ adalah melanggar hak perlembagaan kebebasan beragama rakyat Malaysia di bawah Perlembagaan Persekutuan. Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan melindungi hak setiap rakyat Malaysia untuk menganut agama dan amalan pilihan masing-masing. Perkara 11 (3) jelas memperuntukkan bahawa setiap kumpulan agama mempunyai hak untuk mengurus hal ehwal agama mereka sendiri.

2. Pada tahun 2011, Mahkamah Tinggi memberikan penghakiman yang membenarkan Gereja Katolik menggunakan perkataan 'Allah'. Kerajaan (semua rakyat Malaysia, termasuk Kristian) membawanya ke Mahkamah Rayuan dan ia masih belum selesai.

3. Selain itu, terdapat juga pelanggaran hak menggunakan kata-kata penting dalam Al-Kitab Bahasa Malaysia. Lihat arahan 5 Disember 1986 daripada Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri menyatakan bahawa, sebagai tambahan kepada 'Allah', kata-kata : Al-Kitab, Firman, Rasul, Iman, Ibadah, Injil, Wahyu, Nabi, Syukur, Solat dan doa adalah tidak boleh digunakan dalam Al-Kitab. Di samping itu, membuat larangan melalui fatwa hanyalah relevan dengan umat Islam sahaja dan tidak terpakai kepada bukan Islam.

4. Melarang penggunaan kata 'Allah' dan istilah-istilah lain adalah tidak adil. Kristian Bumiputera perlu diberi penghormatan dan kebebasan untuk memanggil Tuhan dalam satu-satunya bahasa yang mereka. Ini adalah penting bagi identiti agama dan budaya mereka.

5. Jika gereja-gereja di Malaysia bersetuju untuk berhenti menggunakan kata 'Allah', bermakna hak untuk mengedit Kitab Suci agama utama dunia telah diberikan kepada sebuah kerajaan sekular. Ini akan menjadi satu perkara memalukan dan kejadian yang belum pernah berlaku pada mana-mana agama dan kerajaan.

Kesimpulan

Sesetengah umat Islam mendakwa berulang kali bahawa orang Kristian di Malaysia enggan berhenti menggunakan kata 'Allah' kerana mahu mengelirukan umat Islam dan memurtadkan penganut Islam, sekali gus menimbulkan ancaman kepada keselamatan negara. Tuntutan itu adalah tidak berasas kerana tiada bukti penggunaan kata ini membawa ancaman keselamatan negara. Tuduhan ini kekal sebagai tidak berasas.

Sebaliknya, keadaan sebegitu dibuat kerana jahil dengan hakikat bahawa apabila orang Kristian menggunakan Al-Kitab, ia adalah khusus untuk umat Kristian berbahasa Malaysia. Gereja-gereja di Malaysia tidak pernah mencadangkan untuk mengubah kata 'Allah' dan 'Lord' kepada 'Allah' dan 'Tuhan', begitu juga bahasa-bahasa lain dalam Al-Kitab.

Malaysia Airlines (MAS) hidang menu nasi lemak yang cacat


 

Isu tukang masak selebriti terkemuka Malaysia, Chef Wan mengkritik dan mengecam resipi masakan di serata Malaysia bukan satu perkara baru dan memang diketahui umum.Sebelum ini, beliau pernah mengecam sebuah restoran bertaraf lima bintang kerana menghidangkan masakan Nyonya Laksa yang tidak asli dan menggunakan resipi salah.

Terbaru, Chef Wan sekali lagi menggemparkan seluruh Malaysia apabila mengecam menu nasi lemak yang dihidangkan dalam pesawat milik Malaysia Airlines (MAS).Dalam kenyataan tidak puas yang dimuatnaik beliau di akaun Instagram, Chef Wan menganggap nasi lemak hidangan MAS tidak ubah seperti menu telanjang kerana hanya ada sambal dan telur rebus manakala timun, kacang dan ikan bilis ditiadakan.

Katanya, hidangan sedemikian secara tidak langsung akan memberi gambaran negatif kepada orang luar yang tidak pernah melihat dan merasai sendiri nasi lemak sebenar.Mari lihat gambar nasi lemak telanjang hasil resipi MAS serta bunyi kenyataan tidak puas hati Chef Wan yang dimuatnaik di akaun Instagram miliknya.

 

Memang penulis juga turut rasa terkilan dengan hidangan sedemikian. Meskipun hanya menaiki pesawat ekonomi namun tetap tidak patut juga dihidangkan dengan menu nasi lemak yang cacat.

Budak perempuan tujuh tahun mati dikelar bapa kandung


Seorang lelaki mengelar hingga mati anak perempuannya yang berusia tujuh tahun dan mencederakan dua lagi anak perempuannya di rumah mereka di Seksyen 4 Bandar Baru Bangi di Bangi, petang tadi.

Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk Abd Rahim Jaafar berkata dalam kejadian 4.15 petang itu, lelaki berkenaan mencederakan anak-anak perempuannya yang berusia 10 dan 12 tahun di tengkuk dan tangan hingga menyebabkan seorang daripadanya putus jari.

"Polis masih lagi mencari jari itu di dalam rumah suspek," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Beliau berkata seorang lagi anak perempuannya yang berumur 15 tahun dan anak lelakinya yang berusia 17 tahun dapat menyelamatkan diri daripada bapa mereka, yang bersenjatakan sebilah parang dalam kejadian itu.

Menurutnya anak perempuannya berusia 15 tahun itu, yang baru pulang dari sekolah menengah agama, terkejut apabila melihat bapanya sedang berdiri dengan memegang sebilah parang di dalam rumah.

"Budak perempuan itu melihat ada kesan darah di ruang tamu dan mendapati adik-adiknya cedera. Dia terus menjerit dan memanggil abangnya yang berada di tingkat atas.

"Abangnya meluru keluar dari bilik dan melihat keadaan di tingkat bawah lalu meminta adiknya itu segera berlari ke tingkat atas dan bersembunyi di dalam bilik sebelum dia menghubungi polis," katanya.

Abd Rahim berkata ketika tiba, polis mendapati dua anaknya yang cedera berada di ruang tamu dan segera membawa mereka ke Hospital Kajang dekat sini untuk rawatan.

Beliau berkata polis menjumpai mayat budak perempuan, yang dikelar di leher, di bilik tingkat bawah rumah itu.

Susulan kejadian itu, polis mencari lelaki berusia 44 tahun itu dan menemuinya di tebing sungai di belakang kawasan perumahan itu kira-kira 6 petang.

"Suspek dijumpai dalam keadaan murung, basah dan cedera di kepalanya. Polis percaya suspek telah terjun ke dalam sungai tetapi naik ke tebing kemudian," katanya.

Abd Rahim berkata polis turut merampas sebilah parang daripada suspek itu.

Suspek yang menganggur sejak dua tahun lepas, tidak mempunyai rekod jenayah dan mungkin mengalami masalah mental.

Nelayan tangkap ikan aneh di Miri Sarawak


 

Penemuan ikan pelik merupakan satu penemuan yang boleh dianggap unik kerana masih banyak lagi spesis ikan yang kita sendiri tidak pernah temui.Jika kita lihat, memang spesis ini agak sukar ditafsirkan spesis apakah ini ?  Penemuan ini juga telah mendapat perhatian media semasa.

Seekor ikan aneh yang ditangkap di Tudan, Sarawak menimbulkan kehairanan tentang spesis sebenarnya.Mempunyai mulut bertaring tajam dan badan tirus berduri, rata-rata nelayan mahu pun penduduk setempat tidak mampu mengecam apakah jenis sebenar ikan yang berukuran kira-kira sekaki panjang itu.

Justeru penduduk setempat menggelarkannya ikan todak buat masa ini kerana muncungnya yang tajam.Ikan itu ditangkap oleh nelayan Sapar Mansor, 43, dari Taman Ceria, Permyjaya di Laut China Selatan dekat Tudan, Sarawak.

Menurut Sapar kepada Borneo Post, ini merupakan kali pertama dia melihat ikan seperti ini.Ia ditangkap selepas dia dan rakan memudik bot selama 2 jam dari Sungai Miri ke laut.Mereka mula memancing sekitar 5 pagi dan tangkapan aneh itu diperolehnya kira-kira setengah jam kemudian.

Isteri Sapar, Siti Kadariah, 35, mengering dan mengawet ikan berkenaan bagi memastikan ia dapat disimpan lama kerana keunikannya.Sementara itu Pemangku Pengurus Besar Divisyen Perlindungan dan Pemuliharaan, Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC), Oswald Braken Tisen berkata, pihaknya kini sedang mengenalpasti spesis sebenar ikan berkenaan.

Gunung Kinabalu : Air yang menitis kelihatan putih seperti salji


 
 * Air kolam di puncak Gunung Kinabalu membeku

“Kolam menjadi ais, embun yang menitis juga terus membeku hingga kelihatan seperti salji,” kata penunjuk arah atau dikenali sebagai ‘Malim Gunung Kinabalu’, Nais Momin, 45.

Menceritakan keadaan sejuk luar biasa di puncak Gunung Kinabalu, Nais berkata, beliau menyedari keadaan itu ketika membawa pendaki ke puncak gunung pada 15 Januari lalu.

“Ini kali pertama saya lihat keadaan seperti itu sepanjang enam tahun menjadi malim di puncak tertinggi Asia Tenggara. Laluan bertangga di kawasan puncak turut diseliputi ais. Laluan pendaki menjadi licin.

“Cuaca ketika itu redup, bergerimis dan sejuknya menusuk ke tulang. Air menjadi ais dengan ketebalan antara setengah hingga lebih satu sentimeter.


Putih seperti kapas

“Air yang menitis kelihatan putih seperti salji, tetapi apabila jatuh atas batu ia hilang. Ada pendaki menyangka ia salji, tetapi saya berpendapat sebaliknya kerana salji bila jatuh ke bumi, ia kelihatan putih seperti kapas,” katanya ditemui di sini, semalam.

Pengerusi Persatuan Malim Gunung Kinabalu, Suhaji Sumail, berkata pembekuan air kolam di puncak gunung jarang terjadi dan kali terakhir pernah diceritakan, berlaku lebih 30 tahun lalu.

“Ais biasa ditemui di puncak gunung, terutama pada musim kemarau, tetapi nipis dan cair apabila disentuh. Kali ini, ais ditemui tebal dan berlaku pada musim hujan.

“Saya percaya ia disebabkan cuaca sejuk yang dibawa angin kencang di kawasan puncak gunung,” katanya.

Kakitangan Taman-Taman Sabah, Jenny Jane, 29, berkata catatan suhu dicatat di puncak Gunung Kinabalu, jatuh hingga negatif dua darjah Celsius sejak pertengahan bulan ini, berbanding empat hingga lapan darjah Celsius sebelum ini.


Suhu bawah paras beku

Katanya, pemantauan pihaknya mendapati suhu di bawah paras beku dicatat dua atau tiga hari sebelum meningkat kepada sifar hingga tiga darjah Celsius, sejak seminggu lalu.

“Memang kali ini lebih sejuk disebabkan hujan berpanjangan seminggu lalu sehingga ada jadual pendakian ke puncak dibatalkan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Meteorologi Sabah, Abdul Malek Tussin, berkata ke-adaan berais di puncak Gunung Kinabalu akibat penurunan suhu sehingga mencapai paras beku adalah perkara biasa.

“Dakwaan salji tidak logik kerana Gunung Kinabalu tidak terletak di kawasan yang biasa berlaku salji,” katanya.