Tergedi bernama ISLAM

 


Bayangkan jika hari ini Nabi Muhammad turun balik ke Malaysia (tentunya tiada siapa yang mengenal beliau), apa akan jadi? Beliau akan melihat orang Islam mendakwa nama "Allah" itu milik mereka saja; orang Islam tidak mahu berdebat tentang agama dengan orang bukan-Islam kerana takut; orang Islam bergaduh sama sendiri kerana berbeza mazhab; orang Islam mahu bergaduh dengan orang bukan Islam kerana azan; orang Islam melarang orang bukan-Islam memberi salam; orang Islam ada kasta paderi, seperti orang Hindu dan Kristian; perkataan “Muhammad” diletakkan bersama perkataan “Allah” sama besar dan sama paras di rumah-rumah dan di mesjid-mesjid, orang Islam berselawat kepada beliau dengan menyalah-tafsirkan ayat 33: 56 (kedua-dua ini bermakna mereka telah mendewa-dewakan Muhammad),  dan banyak lagi ajaran baru yang tidak diajar oleh beliau tetapi yang diamalkan oleh orang Islam. Beliau akan menitiskan air-mata, dan akan menegur mereka. Lalu orang Islam akan menghalau beliau keluar dari Malaysia, kerana beliau bahaya kepada ketenteraman awam !

Inilah "Islam" setelah ia berada di Malaysia selama 600 tahun lebih !

Malah beliau akan menghadapi nasib yang sama di Mekah tempat lahir beliau dan tempat beliau pertama kali menerima wahyu daripada Tuhan.

Inilah sebabnya saya menamakan esei ini "Tragedi Bernama Islam." Tragedi, kerana agama Islam yang direadi Allah bertukar menjadi agama yang tiada bezanya daripada agama-agama lain yang telah menyeleweng, seperti Yahudi, Kristian, Hindu dan lain-lain; namun orang Islam sendiri tidak menyedari penyelewengan mereka. Saya boleh ketawa, kerana lucunya, tetapi mana boleh saya ketawa? Ini perkara serius. Saya amat sedih.

Kita harus mencari jalan keluar dari penyelewengan besar ini, sekarang juga.

Saya telah menulis buku, risalah dan banyak esei tentang kejatuhan Islam dan penyelewengan umat Islam. Tentu ramai orang telah membaca tulisan-tulisan ini. Di antara orang-orang yang telah membacanya tentulah termasuk kaum sarjana dan pemimpin-pemimpin politik dan agama. Mengapa mereka tidak bertindak dan mengambil langkah-langkah untuk mengatasinya? Mungkin kerana, dalam masa, katalah 100 tahun yang lalu, bermula dengan Jamaluddin al-Afghani (m. 1897) dan Muhammad Abduh (m. 1905), beberapa rumusan penyelesaian yang berbeza telah dikemukakan oleh berpuluh, mungkin beratus, orang sarjana dan cerdik-pandai yang telah mengkaji perkara ini. Mengapa belum diketemui jawapannya ?

Ini bermakna orang Islam sendiri keliru! Umat Islam di seluruh dunia sudah jatuh sejak lama. Tidakkah ini nyata ?

Ingat kembali amaran Tuhan yang jelas dalam Quran. "Rasul akan berkata: "Tuanku, umatku telah membelakangkan Quran ini. Demikianlah Kami wujudkan bagi setiap nabi musuh dari kalangan mereka yang berdosa. Tuanmu cukup sebagai pembimbing dan penolong." (25: 30-31). Dua ayat yang dahsyat ini wujud dalam Quran dari awal. Bermakna Tuhan Maha Mengetahui nampak kemungkinan umat Islam (zaman Nabi Muhammad) akan melakukan kesilapan yang sama, seperti umat-umat lain dulu, lalu, melalui mulut rasul-Nya Muhammad, mengeluarkan amaran besar ini. Mengapa tokoh-tokoh agama kita tidak memberi perhatian kepada amaran ini? Umpamanya, adat kita, di seluruh dunia Islam, melagukan Quran tanpa faham (bagi mereka yang bahasa Arab bukan bahasa ibunda) jelas melanggar peringatan ini. Bagi mereka yang bahasa Arab bahasa ibunda, mereka diajar supaya merujuk makna ayat-ayat Quran kepada golongan ulama (dengan bahasa lain, kasta paderi!). Kononnya, huraian para paderi ini cukup dan muktamad (istlahnya, ijmak ) !

Saya menulis dalam memoir saya, Mencari Jalan Pulang: “Tidak ada kaedah yang lebih pintar daripada ini untuk menyembunyikan Quran daripada umat Islam.”  Seperti yang diungkapkan oleh pegawai-pegawai raja dalam zaman feudal Melayu dulu apabila sesorang itu hendak dihukum: "Sudah sampailah takdir Tuhan kepada anda!" Yakni untuk disembeleh!) Demikianlah umat Islam sudah disembeleh kerana membuat kesilapan-kesilapan yang sama seperti masyarakat-masyarakat agama lain.

Dalam penyelidikan saya, apa yang dipanggil Hadith atau Sunnah itulah punca utama penyelewengan umat Islam. Quran dibuat buku nyanyian; Hadith dibuat buku pegangan! Selepas itu, umat Islam mewujudkan suatu kasta paderi (disebut ulama), yang tiada dalam ajaran Islam yang asal)) untuk mentafsirkan agama bagi mereka, seperti orang Yahudi, Kristian dan Hindu. Kemudian mereka pisahkan ilmu kepada dua kelompok yang berlainan: ilmu agama dan ilmu dunia.

Ketiga-tiga faktor ini menjaminkan mereka akan kekal terperangkap dalam penjara yang mereka bina sendiri! Malang seribua kali malang! Mereka anggap penjara itu istana yang cantik! Mereka bangga duduk di dalamnya !

Kalau saya hendak menceritakan ini semua dengan terperinci, saya kena tulis sepuluh jilid. Malangnya, saya tidak ada masa. Kita semua pun tidak ada masa. Kita perlu keluar dari penjara ini dengan segera. Nasib baik Quran, satu-satunya buku yang dijamin oleh Tuhan terpelihara daripada korupsi, masih ada pada kita. Quran akan datang balik kepada kita dan kepada seluruh dunia. Inilah yang akan mengeluarkan kita dari penjara dan akan menyelamatkan kita daripada kemusnahan besar yang menanti.

Adakah Tuhan yang esa itu ada nama ?


 

Walaupun kebanyakan autoriti, termasuk kamus, menyatakan “Allah” nama khas bagi  Tuhan Yang Esa, Quran dan hukum logika menafikannya. Surah 17, ayat 110 berbunyi: “Panggillah Dia Allah atau panggillah Dia Yang Maha Pemurah; dengan nama apa juga kamu panggil Dia, milik-Nya nama-nama yang paling baik.”

Dari segi logika, tidak pantas Tuhan itu bernama, kerana Dia bukan seperti manusia – ada nama ! Dia tenaga murni, tenaga yang paling kuat. Sebab itu kalau Dia turun ke dunia, dunia akan hancur, kerana dunia tidak boleh tahan kekuatan tenaga itu.

Sungguh aneh dan menghairankan, ada orang Islam di negara kita mendakwa bermati-matian bahawa Allah itu milik mereka saja, bukan milik orang Kristian! Tidakkah ulama mereka tahu bahawa perkataan ‘Allah’ itu bahasa Arab, ertinya ‘Tuhan itu’, yakni Tuhan Yang Esa ?  

Dalam agama Hindu, ada banyak Tuhan dengan nama yang berlainan. Dalam agama Kristian, orang percaya ada tiga Tuhan – Tuhan Bapa, Tuhan Anak dan Roh Kudus. Bolehkah mereka gunakan perkataan ‘Allah’ dalam kitab Taurat yang mereka terjemahkan ke dalam bahasa Melayu?  Tentu boleh, sebab tidak munasabah dibuat undang-undang  menghadkan pergunaan perkataan ‘Allah’.  Penulis Kristian ini harus ingat bahawa perkataan ‘Allah’ bahasa Arab yang bermakna ‘Tuhan itu’ dalam bahasa Melayu, yakni Tuhan Yang Esa. Bagi kebanyakan orang Kristian Tuhan ada tiga; jadi tidak logik bagi mereka menggunakan perkataan ‘Allah’. Ini soal kejahilan, bukan soal mencuri nama !

Lebih penting daripada perbantahan dangkal ini, kita harus ingat dan faham bahawa yang beragama itu manusia, bukan negara. Alangkah aneh Perlembagaan Malaysia mengatakan “Islam agama Persekutuan”. Tiap negara-bangsa netral dari segi agama, kerana yang beragama itu penduduk negara itu. Oleh sebab itu, Piagam Madinah yang masyhur itu dan yang digubal oleh Nabi Muhammad sendiri menyerahkan pentadbiran urusan agama kepada penganut-penganutnya sendiri, autonomi dengan perkataan lain.  Ini boleh mengelak daripada konflik agama, seperti yang kerap berlaku di negara kita.

Ingin saya huraikan di sini mengapa saya tidak menggunakan frasa SAW selepas nama Nabi Muhammad.  Penggunaan frasa ini sebenarnya bersalahan dengan ajaran Tuhan dalam Quran. Kita tidak dibenarkan membezakan antara para nabi. (Mengapa kita sebut frasa AS selepas nama nabi-nabi lain?) Lagipun frasa SAW itu ditujukan juga kepada orang mukmin umumnya. (Quran, 33: 43).

Jadi, saya ingin bertanya, adakah kita di Malaysia mengamalkan agama Islam seperti yang diajar oleh nabi besar kita Muhammad?  Kegagalan sarjana-sarjana kita membetulkan kesilapan-kesilapan amalan agama kita (Islam baka, bukan Islam sebenar) sangat menghairankan!

Anak pasangan Malaysia dakwa dipukul berulang kali


Rakyat Malaysia, Azizul Raheem Awalluddin dan isterinya, Shalwati Nurshal didakwa memukul empat anak mereka berulang kali, termasuk kes terbaru ini.

Pasangan berkenaan, kini dalam perbicaraan di Mahkamah Daerah Solna, Sweden atas dakwaan memukul empat anak mereka.

Akhbar Sweden, The Local melaporkan kenyataan kanak-kanak itu membuktikan Shalwati kerap memukul mereka berulang kali.

"Saya dipukul di belakang dan kaki," memetik laporan The Local berdasarkan kenyataan salah seorang kanak-kanak berkenaan.

"Kemudian telinga saya dicubit dan memukul saya di kepala.

"Saya sudah biasa dipukul ibu," kata anaknya yang lain, dan berkata dia tidak lagi merasa sakit kerana kerap dipukul.

Akhbar The Local melaporkan kanak-kanak itu berkata, mereka dipukul sejak beberapa tahun lalu menggunakan tali pinggang, penyangkut pakaian dan kayu.

Shalwati bagaimanapun menafikan tuduhan berkenaan dan hanya memukul anaknya sekali.

Shalwati didakwa atas kesalahan keganasan terhadap integriti kanak-kanak tersebut.

Azizul turut didakwa atas dakwaan sama.

Sementara itu The Star melaporkan anak sulung pasangan itu berkata, mereka dipukul lebih 1,000 kali dalam setahun.

Dalam video yang direkodkan polis, Ammar berkata, Shalwati sering memukulnya apabila dia menjawab, menghentakkan kaki untuk menonton YouTube dan enggan makan malam bersama keluarga.

"Saya rasa lepas ini ibu bapa saya tidak suka saya lagi," kata Ammar dalam video itu.

"Saya risau mereka akan pukul saya jika tahu saya tidak ke sekolah," katanya.

Polis menjalankan soal siasat  dengan Ammar ketika sesi persekolahan dengan kebenaran pembantu pengetuanya.

Dalam video tersebut, Ammar menerangkan tiga insiden dia dipukul, pertama ketika memainkan muzik dengan kuat sedangkan ketika itu dia harus melakukan kerja sekolah.

Kedua, ketika dalam kereta untuk ke sekolah dan bergaduh dengan adiknya Aishah.

Ketiga ketika dia belajar Al-Quran dengan ibunya.

The Star melaporkan Azizul dan Shalwati kelihatan geram ketika menonton video tersebut.

Shalwati dilihat mengigit bibirnya dan Azizul menundukkan kepala dan menggosok batang hidungnya.

Ammar mendakwa adik beradiknya turut dipukul walaupun dia yang memulakan masalah.

Walaupun Ammar berulangkali mengatakan dia layak menerima hukuman, polis wanita ketika sesi berkenaan berkata walau apa pun kanak-kanak itu lakukan, undang-undang Sweden melarang tindakan berkenaan.

Anak bongsu pasangan berkenaan, Arif berkata, Azizul mencubit lengannya dan Shalwati memukulnya menggunakan penyangkut pakaian dan kayu dengan simpulan di hujungnya.

Pihak pendakwa kemudiannya mendapati kayu itu adalah rotan setengah kaki panjang.

Sweden menguatkuasakan hukuman sejak 1979. Mereka yang didakwa bersalah boleh dihukum penjara sehingga enam tahun

[ Demonstrasi ] Lebih 2,000 penoreh bantah harga getah jatuh


 

Hampir 2,000 penoreh getah keluar beramai-ramai di Pekan Naka, Padang Terap, Kedah semalam bagi menuntut kerajaan segera bertindak mengatasi masalah harga getah yang kini jatuh mendadak, himpunan ketiga yang dicatatkan sehingga kini.

Himpunan itu dinamakan sebagai Himpunan Sengsara Penoreh Getah, sebagai menyatakan luahan tekanan ekonomi yang terpaksa ditanggung.

Pelbagai sepanduk turut dibawa termasuk yang bertulis "Harga barang naik, harga getah turun", "BN menang rakyat senang?" dan "Getah turun ape cerita, terima kasih BN".

Mereka mendesak kerajaan menetapkan harga lantai getah kepada RM4 sekilogram bagi meringankan beban penoreh getah, lapor media rasmi PAS, Harakahdaily.

Harga getah kini jatuh sehingga RM2.40 sekilogram di kebanyakan tempat.  Sebelum ini, Presiden Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman mencadangkan isu kejatuhan harga getah ini dijadikan modal kempen pilihan raya kecil Kajang.

Ketua Pemuda PAS Malaysia, Suhaizan Kaiat yang turut serta dalam himpunan itu berkata, sebahagian besar penoreh getah kini terpaksa ikat perut kerana pendapatan bulanan mereka terjejas.

Suhaizan berkata, biasanya pendapatan bagi mereka yang mengambil upah menoreh dua relung getah adalah sekitar RM300 hingga RM400 sebulan dan ia masih di bawah paras kemiskinan.

"Itu ketika harga getah tinggi, dan mereka menoreh 6 hari seminggu, jika tidak hujan. Kalau musim hujan atau kemarau, pendapatan mereka kurang daripada itu.

"Pada 1974 harga sekati getah adalah 25 sen, sama dengan harga sekati gula pada waktu itu yang juga 25 sen. Sekarang harga gula RM2.85 sekilogram manakala harga getah sekerap RM2.40.

"Beza harga dengan barangan keperluan itu tinggi, " katanya.

Ketua Pemuda PAS Kedah, Nasir Zakaria, berkata kerajaan perlu segera bertindak segera menangani kemelut harga getah ini.

"Pemuda Kedah mengingatkan bahawa mungkin Demonstrasi Baling 1974 yang berlaku 40 tahun dahulu akan berulang jika kerajaan tidak bertindak segera," katanya.

Status Sabah dan Sarawak tidak sama taraf dengan negeri lain


 

Rakyat Sabah dan Sarawak tidak setuju dengan kenyataan Ketua PKR Sabah dan Sarawak, Datuk Lajim Ukin dan Baru Bian yang menuntut rakyat untuk mengundi Pakatan Rakyat (PR) dan bukannya berpisah.

Laman Facebook yang dikenali ‘Dayak People Educated’ (DPE) telah mengeluarkan kenyataan bahawa berpisah dengan Persekutuan Malaysia adalah  jalan yang terbaik dan PR perlu sedar siapa yang menjadi pengkhianat.

“Sampai bila nak tunggu PR menang? Saya tidak setuju dengan kenyataan Baru Bian yang mengatakan berpisah dengan Malaysia itu adalah

satu pengkhianatan. Persoalannya siapa khianat siapa sebenarnya?”, tulis satu  kenyataan yang dikeluarkan oleh Dayak People Educated.

Sehingga kini, halaman DPE mempunyai 38,571 ‘Likes’.

Pengguna Facebook Sabah dan Sarawak, memberi reaksi menyokong dan menyifatkan kerajaan persekutuan telah menafikan hak Borneo selama 50 tahun.

“Status Sabah  dan Sarawak tidak sama taraf dengan negeri-negeri Tanah Melayu, dan kerajaan Persekutuan perlu kembalikan status Sabah dan Sarawak sebagai negara,” ujar Maxnicol Sevenup

Sementara itu, Kennedy Joseph berkata PKR sepatutnya keluar dari Sabah dan Sarawak.

“Saya bukan pro BN tetapi saya nak parti tempatan untuk berkembang bukan diimport dari Malaya,

“DAP dan PKR sama juga dari sana jadi apa bezanya dengan BN? Kita masih dijajah oleh mereka dari sana, jangan mengagungkan sangat parti-parti dari Malaya ni, semua sama saja, untuk kepentingan sendiri dan suka bermain politik kotor,” tegas beliau.

Clave Perez Lking menambah, “Pemimpin Sabah Sarawak mengatakan bahawa pengkhianatan jika berpisah dengan Persekutuan Malaysia, sebenarnya pemimpin yang telah melakukan pengkhianatan kepada rakyat mereka,”

Pemimpin PR semalam memberi cadangan penduduk Sabah Sarawak yang tidak puas hati dengan janji palsu Putrajaya perlu mengeluarkan BN dari negeri mereka untuk menuntut autonomi penuh apabila Malaysia dibentuk pada 1963.

“Kita tidak boleh berpisah jika tidak kita akan dikenakan tindakan kerana melakukan pengkhianatan,

“Tetapi saya memikirkan kita boleh menyelesaikan masalah tersebut dengan pilihan raya bukannya berpisah,” tegas Baru Bian.

Sentimen keluar dari Malaysia semakin kuat dalam kalangan penduduk Sabah Sarawak dengan lahirnya kesedaran terhadap hak-hak yang selama ini ditutup.

Malah ketegangan agama dan kaum yang semakin meningkat meresahkan majoriti warga Borneo.

Wujudnya sebuah kumpulan di media sosial dikenali sebagai Sabah Sarawak Keluar Malaysia (SSKM) yang mempunyai 10,000 lebih ahli menguatkan lagi sentimen terbabit.


Asal perkataan sembahyang dalam etika Melayu Islam


Masih ramai lagi yang menggunakan perkataan sembahyang kalau di bandingkan dengan perkataan solat. Hari ini kita kupas sejarah perkataan sembahyang yang mungkin ramai tidak tahu sejarahnya.

Shang Hiyang Widhi atau Tuhan Yang Maha Esa datang dari perkataan Hindu Dharma di mana sebelum kedatangan Islam ke bumi Semenanjung, orang orang melayu menyembah matahari.

Sang bermakna, memiliki makna personalisasi atau identifikasi. Contoh penggunaan kata lainnya: sang kancil, sang raja, sang bulan dan lain-lain.

Hiyang, terkait dengan keberadaan spiritual yang dimuliakan atau mendapatkan penghormatan yang khusus. Biasanya, ini dikaitkan dengan wujud persona yang bercahaya dan suci iaitu matahari.

Seringkali matahari dikaitkan dengan Sang Hiyang maka terkeluarlah perkataan Sembah Hiyang ataupun sembahyang.

Masyarakat dahulu kala menyembah mentari kerana ia seolah memberi cahaya kehidupan pada diri mereka dan perkataan sembahyang itu masih lagi digunakan sehingga ke hari ini. Walaupun cuma beberapa tahun yang lalu, perkataan solat digunakan, tapi secara tidak langsung, perkataan sembahyang adalah berasal dari hindu.

Jadi jika anda masih lagi menggunakan perkataan sembahyang, anda sebenarnya mencuri perkataan hindu dan anda seolah menyuruh seseorang itu untuk menyembah sang matahari atau hiyang.

Kesimpulannya. Selama ini anda terbawa bawa dengan cara hindu dan anda marah jika kami kaitkan agama anda sedikit sebanyak adalah dari tiruan agama lain. 




Salahkah Taib hina UMNO ?! UMNO memang parti RASIS


 

Wartawan veteran, Datuk Kadir Jasin hairan kenapa tuduhan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Taib Mahmud bahawa Umno adalah parti rasis tidak dijawab oleh para pemimpin Umno.

Dalam posting terbarunya dalam blognya The Scribe, Kadir menulis apa yang dilaporkan mengenai kenyataan Abdul Taib Mahmud berkenaan Umno, maka ia adalah satu tamparan dan penghinaan yang sangat dahsyat dan tidak patut.

Katanya, media atas talian memetik Abdul Taib sebagai memberi amaran kepada pengganti beliau agar “memastikan politik rasis Umno tidak masuk ke Sarawak”.

Katanya lagi, ada dua perkara pokok di sini. Pertama tidak membenarkan Umno masuk ke Sarawak dan kedua tidak membenarkan “politik rasis” Umno berkembang di Sarawak.

Tambahnya, Umno mungkin tidak berhasrat mengembangkan sayapnya ke Sarawak. Setidak-tidaknya buat masa ini. Jadi kepemimpinan Barisan Nasional (BN) Sarawak tidak perlu khuatir.

“Yang nyata menghina Umno adalah tuduhan Abdul Taib bahawa parti induk BN itu mengamalkan politik perkauman (racist politics),” katanya lagi.

Beliau menambah  apakah ini benar dan adakah kepemimpinan Umno di bawah Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak akan berdiam diri menghadapi tuduhan yang sangat berat itu?

Kenyataan Abdul Taib yang dikatakan dibuat pada mesyuarat Majlis Tertinggi Barisan Nasional Sarawak pada 9 Feb. memberi gambaran jelas bahawa penggantinya “harus tegas dan tidak berpaling” apabila berurusan dengan Putrajaya mengenai perkara yang melibatkan kepentingan Sarawak.

Setiausaha Agung BN Sarawak, Datuk Dr Stephen Rundi, berkata Taib mengatakan penggantinya  perlu bersungguh-sungguh melindungi hak negeri seperti yang dijanjikan dalam Perjanjian Malaysia 1963.

“Kita mesti berpegang kepada Perjanjian Malaysia dalam melindungi hak negeri ini,” kata Rundi mengenai mesej Taib ketika ditanya apa yang berlaku dalam mesyuarat MT BN negeri selain memberi ketua menteri itu mandat untuk memilih penggantinya.

Rundi berkata, bertegas dengan Putrajaya termasuk menghalang Umno masuk ke Sarawak yang dilihat tidak begitu mengendahkan perjanjian 20 perkara yang menjamin kepentingan dan hak Sarawak dan penduduknya apabila mereka bersetuju membentuk Malaysia bersama Malaya, Sabah dan Singapura.

Kadir yang juga bekas Ketua Pengarang The New Straits Times berkata, dengan pelbagai masalah dan tekanan yang dihadapinya sekarang, membawa Umno ke Sarawak pastinya bukan keutamaan Mohd Najib.

“Secara peribadi saya tidak melihat wujud kewajaran atau kebijaksanaan bagi Umno bertapak di Sarawak,” katanya.

Beliau menyoal jadi apa perlunya Abdul Taib mengeluarkan amaran itu dan melemparkan tuduhan yang sangat berat dan menghina terhadap Umno?

“Apakah ini cara beliau menghantar mesej kepada Putrajaya supaya tidak mengambil kesempatan daripada pengunduran beliau sebagai Ketua Menteri Sarawak? Kalau ia pun, mengapa sampai menuduh Umno rasis?” soalnya lagi.

Katanya, kalau Umno masih berpegang kepada perjuangan kebangsaan Melayu, ia wajib dengan tegas dan terbuka membantah dan menyangkal tuduhan bahawa ia mengamalkan politik rasis.

“Atau apakah Abdul Taib, seperti banyak orang bukan Melayu, turut tidak senang hati dasar Umno memperjuangkan hak dan keistimewaan orang Melayu seperti termaktub dalam Perlembagaan?” soalnya.

Beliau berkata kalau benar Umno rasis kerana memperjuangkan hak orang Melayu, mengapa pula ramai ahli Umno khususnya dan orang Melayu amnya melihat Umno di bawah kepemimpinan Mohd Najib sebagai tidak cukup gigih dan lantang mempertahankan Melayu? Sebaliknya mereka melihat Mohd Najib sebagai terlalu berlembut dengan orang bukan Melayu.

“Jadi apakah masalah Abdul Taib sebenarnya? Adakah cemuhannya terhadap Umno itu satu lagi manifestasi ketidakpuasan dan ketidakmesraan beliau dengan Mohd Najib yang dilihatnya sebagai tidak cukup lantang mempertahankan beliau daripada tuduhan salah guna kuasa dan rasuah sebaliknya mahu beliau berundur cepat?” soal beliau.

Beliau menambah apa pun, Umno tidak ada pilihan melainkan menjawab tuduhan Abdul Taib bahawa ia mengamalkan politik perkauman.

Ulasan Penulis

Mereka ( UMNO ) diam kerana betul. Sarawak for Sarawakian.Perkara 20 tidak lagi wujud, yang wujud Inter-Government Committee Report (IGC), Malaysia Agreement 1963 dan Perlembagaan Malaysia. Sekiranya di lihat selama 50 tahun BN/UMNO dengan secara halus sudah majoriti daripada syarat syarat penubuhan Malaysia. Ini bukan cerita kemasukaan UMNO ke Sarawak namun satu peringatan kepada BN/UMNO bahawa Malaysia adalah sebuah Negara yang dibentuk bersyarat. Malaysia ialah symmetrical Federation dan bukaannya Unitary Federation. Ramai diantara pemimpin Malaya yang tidak faham konsep ini. Lebih parah daripada ini bukan terhadap UMNO yang rasis, persoalannya di mana Malaysia yang di bentuk secara bersyarat. Ini membuat beliau (Taib) mengungkit kembali Perjanjian Malaysia. Nah sekarang pemimpin pemimpin Malaya yang belum fasih terhadap Perjanjian Malaysia buat lah kajian yang lebih mendalam, jangan nanti buat kenyataan kankung pula.

Seolah-olah Datuk Kadir Jasin segaja tidak mahu faham maksud amaran Taib Mahmud. UMNO adalah parti Melayu yang bertekad nak menguatkan dominasi pemerintahan di Negara ini dan sedang berusaha memelayukan semua orang bukan melayu di Malaysia terutama Bumiputera Sabah dan Sarawak. Taib Mahmud sudah nampak apa yang berlaku di Sabah dengan pemerintahan UMNO.

Perjuangan UMNO tidak sesuai di wilayah Borneo, kerana penduduk wilayah Borneo itu berbilang suku kaum dan ugama. Jika UMNO berjaya masuk ke Sarawak Taib Mahmud risau konsep Ketuanan Melayu itu akan digunapakai secara sistematik dalam memerintah negeri yang majoritinya bukan Melayu. Ini akan menimbulkan ketegangan sosial antara penyokong UMNO dan penyokong parti-pari lain dinegeri Sarawak yang berbilang kaum bukan melayu dan beragama Kristian.

Di Sabah setakat ini, Putrajaya dapat mengekang keaadan dengan berbagai cara yang telah kita sendiri lihat, terbaharu ialah pendaftaran oleh ROS, lebih dari 20 buah parti baru yang kebanyakannya pro pembangkang. Dalam suasana begitu UMNO sebenarnya akan mendapat kelebihan, sepertimana keputusan pilihanraya lalu, pembangkang berpecah dan tidak beri ancaman padu kepada UMNO dan sekutu tempatannya , menyebabkan BN/UMNO menang mudah dinegara Sabah pada PRU13.

Dan seperti yang kita selalu dengar, semua keputusan kerajaan terutama penyaluran dana pembangunan ke Sabah dikawal oleh Putrajaya. Beberapa wakil rakyat merayu-rayu supaya dana itu disalurkan langsung ke setiap agensi Kerajaan negeri Sabah, tetapi Putrajaya sudah membuat satu dasar mereka mengenai perkara tersebut, Taib Mahmud tentu tidak mahu perkara begitu berlaku di Sarawak. Taib Mahmud tak mahu KM Sarawak jadi Pak Angguk kepada Putrajaya. Taib Mahmud mahu bebas dari cekaman kerajaan pusat, dan tidak mahu ‘wakil’ kerjaan pusat duduk dalam Kabinet Kerajaan Negerinya.

Penduduk Borneo bukan tidak suka UMNO kerana UMNO perjuangkan hak orang Melayu, tetapi UMNO dengan NGO-NGO Meloyanya sentiasa menguar-uarkan hak Melayu seolah-olah negara ini milik orang Melayu sahaja , ini yang buat ramai orang Sabah dan Sarawak tidak senang dengan UMNO. Ditambah pula PM Najib seolah-olah mengizinkan perkara sedemikan berlaku tanpa memberi teguran kepada NGO-NGO Melayu yang lancang menghina suku kaum lain di Malaysia.




Noh Omar bermuzakarah dengan Khalid Samad tentang ' Allah '



Saya telah hadir ke ‘Muzakarah Kalimah Allah’ di studio MobTV malam kelmarin. Rakaman video berkenaan boleh ditonton melalui laman web MobTV: Muzakarah - Kalimah Allah : Dari Sudut Perundangan. Saya telah hadir tanpa sebarang syarat atau udang di sebalik batu, dengan penuh kesediaan untuk disekolahkan oleh Noh Omar. Malangnya beliau mengaku bahawa beliau tidak merupakan pakar dalam soal hukum Islam mahupun soal perlembagaan Negara. Dalam soal hukum Islam beliau mengesyorkan kita terima sama keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan dan Negeri dan dalam soal perlembagaan, beliau syorkan kita serahkan sahaja kepada pihak mahkamah.

Saya hairan dengan sikap beliau ini. Kalau Noh menganggap kita tidak layak membincang isu ini, mengapa dia cabar saya untuk berdebat? Kalau Noh anggap beliau tidak cukup pakar, mengapa beliau berkata beliau ingin sekolahkan saya? Maka kecewa teramatlah diri saya dalam soal ini kerana tidak bertambah ilmu saya walau sedikit pun setelah bermuzakarah lebih sejam bersamanya. Hanya yang terserlah adalah kecelaruan pemikiran yang biasa pada mana-mana pimpinan UMNO/BN.

Mungkin bagi diri Noh, sememangnya beliau tidak mampu menilai dan memberi pandangan berhubung isu ini. Oleh itu beliau memilih jalan selamat dan tidak memberi sebarang komen terhadap hujjah yang telah saya kemukakan. Ayat Quran yang mempunyai makna dan maksud yang jelas ditepis dengan sekadar menyatakan, “kamu bukan ulama. Kenapa kamu tidak menjadi anggota Dewan Ulama PAS?” dan sebagainya. Sekadar itu sahajalah kemampuan dirinya sambil menyerang peribadi saya berhubung tauliah saya yang tidak dilanjutkan dan tuduhan kertas putih terhadap saya semasa saya ditahan ISA.

PENGGUNAAN KALIMAH ALLAH OLEH BUKAN ISLAM


Hujjah saya bahawa kalimah Allah digunakan oleh masyarakat Arab Jahiliah sebelum, semasa dan selepas zaman Rasulullah (SAW) langsung tidak di’iya’kan atau ditolak. Kerana menurut beliau sendiri, beliau bukan pakar dan oleh itu beliau tidak tahu.

Hujjah saya yang berlandaskan Ayat Al-Quran bahawa masyarakat Nasrani (Kristian) dan Yahudi sebelum, semasa dan selepas zaman Rasulullah (SAW) menggunakan kalimah Allah dan ianya langsung tidak dilarang oleh Ar-Rasul juga tidak dihiraukannya. Begitu juga di zaman para Sahabat, Tabiin dan Taba-Tabiin selepas wafatnya Rasulullah, termasuk zaman Bani Umayyah, Abasiah sehingga Othmaniah keadaannya terus begitu.

Cabaran saya untuk dikemukakan pandangan walaupun seorang ulama muktabar pada zaman itu yang menyatakan bahawa kalimah Allah hak eklusif orang Islam dan haram untuk bukan Islam, juga tidak disahutnya. Apakan daya, beliau tidak tahu dan hanya mampu bertaqlid dalam soal ini walaupun tidak mengetahui apa sebarang hujjah di sebaliknya.

MENGAPA DIHARAMKAN

Mengikut fahaman saya, pada dasarnya pengharaman itu adalah berkaitan dengan usaha menghalang penyebaran agama lain kepada ummat Islam. Pada asalnya hukum penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam adalah harus (dibenarkan) tetapi dalam konteks penggunaannya untuk menyebarkan agama mereka kepada orang Islam maka ianya diharamkan. Maka haramnya adalah atas cara dan tujuan ianya digunakan bukan kerana “Allah adalah milik ummat Islam” atau “Allah adalah Tuhan ummat Islam”, iaitu kata syirik yang terhasil dari golongan jahil berhubung isu yang dipolitikkan ini.

Dalam soal penyebaran agama bukan Islam kepada orang Islam, kita semua bersetuju ianya dilarang dan perlu dibenteras. Oleh itu buku dan kitab termasuk risalah serta apa jua usaha menyampaikan agama bukan Islam kepada ummat Islam perlu dihalang. Namun, adakah sesama bukan Islam juga ingin dihalang dan dipantau sedangkan ianya tidak sama-sekali melibatkan ummat Islam? Jika buku Bible ini tidak boleh diserahkan kepada orang Islam, apakah keperluan untuk kita sebagai ummat Islam menentukan perkataan apa yang digunakan di dalam Bible tersebut? Tidakkah ini bercanggah dengan maksud ayat yang masyur yang saya yakin Noh sendiri mengetahuinya iaitu, “Lakum diinukum wali yadiin” atau bagi kamu agama kamu dan bagi kami agama kami.

Pada zaman Nabi, arab musyrikin mempunyai berbagai-bagai kekeliruan terhadap Allah sepertimana juga orang Kristian dan Yahudi. Dasar ‘bagi kamu agama kamu dan bagi kami agama kami’ membiarkan mereka terus dengan kepercayaan mereka terhadap Allah sambil ummat Islam menyatakan kefahaman yang sebenarnya.

PERSOALAN AQEEDAH ?


Pada penghujung muzakarah tersebut, Noh merumuskan ucapannya dengan mengatakan ‘mempertahankan kalimah Allah’ adalah persoalan Aqeedah. Nampak gaya bukan sekadar Noh tidak mampu sekolahkan saya, beliau juga merupakan ‘guru’ yang kurang bijak. Beliau tidak mampu memahami bahawa ini bukan soal aqeedah tetapi kaedah untuk menyekat penyebaran agama lain di kalangan ummat Islam. Itu pun oleh kerana dianggap ummat Islam mudah dikelirukan.

Jika benar ianya Aqeedah, maka mengapa sebut kalimah Allah oleh bukan Islam ‘secara biasa’ dibolehkan? Sekiranya ianya Aqeedah, bagaimana ianya dibenarkan di Sabah dan Sarawak? Kalau ianya Aqeedah tidakkah ia bermakna seluruh dunia Islam, selain dari ummat Islam di Semenanjung sahaja telah sesat kerana membenarkan bukan Islam menggunakan kalimah Allah?

Akan tetapi apa yang disebut oleh bukan Islam berhubung Allah, seperti Allah ‘tiga dalam satu’, adalah tidak benar dan salah. Namun, walaupun salah menurut pandangan Islam, sebagai seorang Islam kita tidak boleh melarang kerana itu agama mereka dan kepercayaan mereka. Samada dikatakan Allah itu tiga atau Tuhan itu tiga ianya tetap salah menurut Islam.

Maka, Enakmen Agama Bukan Islam adalah kaedah untuk mengelak ummat Islam dikelirukan dan dengan itu terpengaruh dengan agama bukan Islam. Itu sahaja, bukan soal Aqeedah. Dan implikasinya ialah bahawa orang Melayu Islam di Semenanjung ini lebih mudah dikelirukan berbanding dengan yang berada di Sabah dan Sarawak! Maka itulah sebabnya di Sabah dan Sarawak ianya dibenarkan tetapi tidak di Semenanjung. Mungkin ianya ada kaitan dengan hakikat UMNO lebih lama di Semenanjung berbanding Sabah dan UMNO tidak ada di Sarawak maka orang Islam di Semenanjung mudah dikelirukan? Di mana adanya UMNO, di situ Melayu jahil dan mudah dikelirukan?

Saya sebenarnya letih dengan guru yang kurang bijak sebegini. Malam itu saya mengambil pendekatan tidak menyerang kerana saya datang untuk ‘disekolahkan’. Saya jelaskan fahaman saya dan jawab serangan Noh terhadap diri saya. Saya tidak menyerang dirinya. Namun dalam keadaan begitu pun saya sedih kerana kemampuannya untuk ‘menyekolahkan’ saya tidak sama sekali diserlahkan. Sebaliknya beliau hanya mengaku bahawa beliau tidak tahu serta tidak layak dan mendakwa begitu juga diri saya. Yang pasti, DIA yang tidak tahu dan oleh kerana tidak tahu, maka beliau tidak mampu juga menilai hujjah yang telah saya kemukakan. Oleh itu beliau tidak mampu menilai kemampuan saya.

Letih saya dengan guru sebegini; bukan sahaja tiada ‘udang’ di sebalik batu, bahkan tiada apa pun di sebalik batu !

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Apa kata anda ? Pukul wanita dan anak simbol kebanggaan Islam


 

Banyak yang boleh dibincangkan tentang kes Pengarah Pelancongan Malaysia di Sweden Azizul Raheem Awalludin dan isterinya Shalwati Nurshal yang memukul anak mereka. Namun, di tulisan ini saya akan fokus pada beberapa perspektif sahaja. Semoga ada penulis lain yang boleh memberi huraian lebih dari pelbagai sudut.

Kes ini membuatkan saya teringat mengenai perdebatan semasa Malaysia mahu menggubal Akta Keganasan Rumahtangga  di Malaysia  lebih kurang 20 tahun dahulu. Ada tokoh-tokoh agama dan petubuhan Islam waktu itu menentang  pelaksanaan akta tersebut kerana menurut mereka, ‘Islam membolehkan pukul isteri !’

Ya, banyak yang boleh dibincangkan, namun oleh kerana ruang yang terhad, saya ingin fokuskan perbincangan mengenai apakah pukul isteri dan pukul anak sesuatu yang harus dibangga dan dipertahankan sebagai simbol Islam dan budaya Melayu?

Jangan marah bila orang bukan Islam kata orang Islam suka kekerasan

Orang Islam marah bila orang Barat kata Islam agama ganas, barbaric dan mendiskriminasi perempuan. “Mana ada . . . bohong dan fitnah ! ” katanya . . . .

Tapi hari ini, Majlis Jemaah NGO Islam Malaysia yang mendakwa mewakili umat Islam di Malaysia mahu upah orang untuk tampar Ahli Parlimen Teresa Kok.

Hari ini, ramai orang Islam di Malaysia membela perbuatan kakitangan Malaysia di Sweden yang pukul anaknya atas dasar agama dan budaya.

Bila kita lihat di youtube ahli-ahli Majlis Jemaah NGO Islam melumur darah ayam dan menginjak-injak poster Teresa, tentu kita malu dengan perbuatan tidak bertamadun itu.  Kita malu dan mengatakan itu bukanlah ajaran Islam.

Maka dalam kes di Sweden ini, cuba anda bayangkan apakah agaknya persepsi orang Barat apabila orang Islam dan kerajaan Malaysia mengatakan ( kalau nak tambah special effect lagi, bolehlah anda tutup mata sebentar dan bayangkan orang-orang Islam Malaysia di Sweden sedang demo memegang sepanduk-sepanduk yang berbunyi ) : “Kami pukul anak-anak kami bila mereka tidak sembahyang. Ini ajaran agama kami dan memang budaya kami ! ”

Bayangkan pula sekiranya yang dipukul itu bukanlah anaknya akan tetapi isterinya, (walaupun pukulannya tidak mencederakan), maka apakah orang Islam dan kerajaan Malaysia akan dengan bangga mengatakan “maaf, and harus faham bahawa ajaran agama kami mengatakan isteri yang tidak patuh pada suami boleh dipukul ! ”

Lalu, bolehkah kita salahkan orang bukan Islam kalau mereka punya persespi orang Islam ini sukakan kekerasan ?

Akta keganasan rumahtangga

Walaupun terdapat penentangan dari sesetengah orang Islam, namun atas desakan NGO-NGO wanita, akhirnya pada 1994 kerajaan Malaysia menggubal juga Akta Keganasan Rumahtangga.

Kini, semua wanita dan masyarakat Islam di Malaysia, termasuklah yang dulu menentangnya, mendapat perlindungan dengan adanya Akta Keganasan Rumahtangga.

Sebelum adanya akta itu, isteri yang dipukul suami dianggap hal peribadi dan hal urusan dalaman keluarga yang mana orang atau pihak lain tidak boleh masuk campur. Kini, jika mana-mana ahli keluarga, terutamanya isteri yang dipukul atau didera, boleh membuat laporan pada polis dan berhak mendapat perlindungan negara.

Anak-anak juga sebahagian dari ahli rumahtangga, maka jika mereka didera, mereka juga berhak mendapat perlindungan. Memandangkan kanak-kanak lebih lemah atau ‘vulnerable’, maka negara telah mengambil langkah perlindungan yang lebih bagi mereka, iaitu dengan menggubal Akta Perlindungan Kanak-kanak.

Kerajaan Sweden pula ialah negara yang paling terkehadapan dan sangat serius dalam memastikan perlindungan terhadap kanak-kanak.  Pada tahun 1970an, Sweden telah menggubal undang-undang yang melarang ibubapa atau sesiapa pun untuk memukul atau menggunakan sebarang kekerasan fizikal ataupun memalukan kanak-kanak.

Orang Islam Di Negara Bukan Islam

Apabila orang luar negara datang ke Malaysia, apakah anda setuju jika mereka mengatakan mereka tidak perlu patuh pada undang-undang negara ini?

Jika anda tidak bersetuju, maka anda juga harus tidak bersetuju bila ada pegawai tinggi Malaysia yang ditugaskan di luar negara mengatakan mereka tidak perlu akur dengan undang-undang di negara tempat dia ditugaskan.

Prof. Tariq Ramadan sudah banyak membicarakan bagaimana umat Islam yang hidup di negara Barat harus mencari titik pertemuan konstruktif dengan budaya dan undang-undang di Barat.

Seorang ulama yang kini di Arab Saudi, Syeikh Abdullah bin Bayyah, juga telah mengingatkan orang Islam bahawa apabila mereka berada di negara bukan Islam, mereka harus akur dengan undang-undang dan peraturan di negara itu.

Beliau memberi contoh “apabila saya datang ke negara ini (Amerika), saya telah menandatangani sesuatu. Semasa menerima visa dan menandatanganinya, suatu kontrak hukum (undang-undang) atau ‘a legally binding contract’ telah berlaku yang berbentuk sulh. Ia adalah persetujuan atau perjanjian bahawa apabila saya ada di negara ini, saya akur untuk menghormati undang-undangnya dan akan akur pada sebarang sekatan (restrictions) seperti yang termaktub di visa ini. Ini adalah perjanjian kontrak yang mengikat secara hukum (undang-undang).

Tanggungjawab kakitangan kerajaan yang bertugas di luar negara

Dalam kes ini, yang melanggar undang-undang bukanlah seorang Malaysia yang sedang melancong di Sweden, yang tidak tahu sangat tentang budaya dan undang-undang Sweden.  Yang melakukan kesalahan itu ialah Pengarah Pelancongan Malaysia di Sweden.

Apakah kerajaan Malaysia tidak beri kursus pada setiap kakitangan kerajaan yang ditugaskan ke luar negara tentang tatacara dan undang-undang negara itu, terutamanya yang berbeza dengan Malaysia?

Jika ada kakitangan kerajaan yang tidak bersetuju pada undang-undang negara tempat dia harus  berkhidmat, maka tidak seharusnya dia dihantar ke negara itu.  Apatah lagi apabila jawatannya ialah Pengarah Pelancongan yang ingin menarik orang Sweden datang ke Malaysia.

Tanggungjawab kerajaan Malaysia

Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab dan prihatin, tentulah ia harus ambil berat terhadap apa jua yang berlaku ke atas warganegaranya walau mereka berada di luar negara.   Sememang wajarlah kerajaan Malaysia mengambil tahu kedudukan perkara mengenai Azizul Raheem Awalludin dan isterinya Shalwati Nurshal yang ditahan reman, serta mengambil berat terhadap keadaan anak-anak mereka yang ditempatkan bersama keluarga angkat sementara.

Pastinya kerajaan Sweden perlu dipersoalkan tentang tempoh tahanan reman yang lama.  Hak asasi orang terdakwa juga perlu dipertahankan. Pastinya juga keselesaan anak-anak mereka yang telah terpisah dari ibubapa mereka harus diambil berat.

Namun, apakah perlu kerajaan Malaysia membuang wang rakyat dengan menghantar pegawai dan menteri dari Malaysia untuk pergi ke Sweden? Bukankah kita sudah ada duta dan kedutaan di sana yang sememangnya menjadi tugas mereka untuk menangani kes-kes yang melibatkan rakyat Malaysia? Lagi pun, bukankah sebaik-baiknya sebarang urusan hanya melalui saluran kedutaan?  Apakah ia melibatkan isu keselamatan dan kedaulatan negara yang genting sehingga duta kita tidak mampu lagi menguruskannya?

Selain bertanggungjawab terhadap keluarga Azizul Raheem, kerajaan Malaysia juga punya tanggungawab terhadap Malaysia secara keseluruhannya. Kerajaan Malaysia harus tegas berpendirian bahawa sebarang bentuk kekerasan fizikal terhadap ahli keluarga tidak boleh diterima. Apatah lagi jika kerajaan komited dengan wawasan untuk menjadi negara maju dengan tamaddun dan peradaban yang dihormati dunia.

Keluarga ideal menurut Islam

Bagi masyarakat Islam pula, mengapa pukul isteri dan pukul anak mahu dijadikan simbol Islam yang dibanggakan.  Bukankah sunnah Rasulullah saw sendiri tidak pernah pukul wanita ataupun kanak-kanak?

Bukankah wawasan Islam dan al-Qur’an ialah terhadap pembentukan keluarga yang mawaddah warahmah, iaitu yang berkasih sayang, serta mengutamakan pedekatan perbincangan dalam menyelesaikan masalah ? Bukankah pendekatan psikologi dan perbincangan antara ahli keluarga sama ada antara suami isteri atau antara ibubapa dan anak-anak jauh lebih baik, harmoni dan efektif ?


Pasangan warga Malaysia di Sweden didakwa pukul anak

 

Pasangan Malaysia di Sweden, Azizul Raheem Awaluddin dan Shalwati Norshal didakwa di mahkamah di Sweden hari ini, atas tuduhan memukul dan mendera keempat-empat anak mereka dalam beberapa insiden sepanjang tiga tahun sejak September 2010 sehingga Disember tahun lalu.

Pendakwaraya mengemukakan kertas pertuduhan setebal 11 muka surat itu yang bagaimanapun tidak menyebut punca atau sebab kenapa keempat-empat kanak-kanak itu, Aisyah Azizul Raheem, 14, Ammar (12), Adam (11) dan Arif (7) dipukul dan didera.

Perbicaraan kes berkenaan mungkin ditetapkan pada 18 Februari dan dijangka berlangsung selama 14 hari.

Pertuduhan antara lain mendakwa Azizul dan Shalwati memukul sehingga meninggalkan kesan fizikal dan mengakibatkan kesakitan dengan mengunakan objek seperti rotan, tali pinggang dan tangan serta turut dicubit dan dipulas telinga.

Shalwati didakwa memukul dan mendera anaknya Ammar sebanyak 11 kali, Adam sebanyak tiga kali, Ariff empat dan Aisyah empat kali.

Kesemua kesalahan itu dilakukan Shalwati dengan menggunakan tangan, rotan, tali pinggang, termasuk menampar dan memulas telinga serta memukul di tubuh badan.

Sementara itu, suaminya pula didakwa mendera dan mendedahkan anaknya kepada kemudaratan di mana terdapat enam pertuduhan menyeksa anaknya Ammar termasuk tidak membenarkan Ammar untuk makan serta memukul kepala kanak-kanak itu sehingga terhantuk ke pinggan, empat tuduhan memukul Adam, tiga Arif dan sekali Aisyah.

Dokumen tersebut turut menyenaraikan beberapa individu yang terlibat dalam soal siasat bagi kes tersebut termasuk kaunselor dan guru-guru sekolah kanak-kanak terbabit dan petugas kebajikan.

Undang-undang Sweden menetapkan tindakan memukul anak adalah salah disisi undang-undang.

Laporan terdahulu memetik peguam pasangan itu Kristopher Stahre memaklumkan, Azizul dan Shalwati akan mencabar pertuduhan tersebut.

Sebelum ini pihak pendakwaan menghantar permohonan bertulis kepada mahkamah untuk mendakwa pasangan berkenaan sekitar 6 petang waktu Malaysia pada Isnin.

Ulasan Penulis

Terbalik. Di Sweden ibubapa bukan sahaja dilarang memukul, malah menengking anak-anak tidak dibenarkan. Sedangkan di dalam Islam, anak-anak tidak boleh bercakap kasar, apatah lagi menengking kedua ibu-bapanya.

Firmanullah s.w.t.

Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapakmu dengan sebaik-baiknya. jika salah seorang di antara keduanya atau Kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, Maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya Perkataan “ah” dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia. (al-Isra’:23)

Memukul anak untuk memberi pengajaran supaya solat dianjurkan di dalam ajaran Islam.Tetapi, dianggap sebagai satu penderaan oleh undang-undang di Sweden.

Nabi saw pernah bersabda: "Perintahkan anak-anakmu mengerjakan sembahyang bila dia berumur 7 tahun dan pukullah dia bilamana tidak mahu mengerjakan sembahyang semasa berusia 10 tahun dan pisahkan dari tempat tidur."

Hadis ini adalah merupakan seruan wajib sembahyang. Kanak-kanak itu belum lagi wajib bersembahyang tetapi yang wajib ialah bapa menyuruhnya bersembahyang.

Semuga Allah swt selamatkan keluarga berkenaan kerana mematuhi ajaran Islam sekalipun ia bertentangan dengan undang-undang dunia. 

* Memberi tunjuk ajar kepada anak-anak adalah tanggungjawab. Namun, apabila ia disertai oleh pukulan yang melampau adalah salah. Mengajar kanak-kanak secara kasar dan ganas dalam hal peraturan agama mahupun peraturan keluarga adalah salah. Memang layak kedua ibu bapa kanak-kanak tersebut didakwa.