Tergedi bernama ISLAM

 


Bayangkan jika hari ini Nabi Muhammad turun balik ke Malaysia (tentunya tiada siapa yang mengenal beliau), apa akan jadi? Beliau akan melihat orang Islam mendakwa nama "Allah" itu milik mereka saja; orang Islam tidak mahu berdebat tentang agama dengan orang bukan-Islam kerana takut; orang Islam bergaduh sama sendiri kerana berbeza mazhab; orang Islam mahu bergaduh dengan orang bukan Islam kerana azan; orang Islam melarang orang bukan-Islam memberi salam; orang Islam ada kasta paderi, seperti orang Hindu dan Kristian; perkataan “Muhammad” diletakkan bersama perkataan “Allah” sama besar dan sama paras di rumah-rumah dan di mesjid-mesjid, orang Islam berselawat kepada beliau dengan menyalah-tafsirkan ayat 33: 56 (kedua-dua ini bermakna mereka telah mendewa-dewakan Muhammad),  dan banyak lagi ajaran baru yang tidak diajar oleh beliau tetapi yang diamalkan oleh orang Islam. Beliau akan menitiskan air-mata, dan akan menegur mereka. Lalu orang Islam akan menghalau beliau keluar dari Malaysia, kerana beliau bahaya kepada ketenteraman awam !

Inilah "Islam" setelah ia berada di Malaysia selama 600 tahun lebih !

Malah beliau akan menghadapi nasib yang sama di Mekah tempat lahir beliau dan tempat beliau pertama kali menerima wahyu daripada Tuhan.

Inilah sebabnya saya menamakan esei ini "Tragedi Bernama Islam." Tragedi, kerana agama Islam yang direadi Allah bertukar menjadi agama yang tiada bezanya daripada agama-agama lain yang telah menyeleweng, seperti Yahudi, Kristian, Hindu dan lain-lain; namun orang Islam sendiri tidak menyedari penyelewengan mereka. Saya boleh ketawa, kerana lucunya, tetapi mana boleh saya ketawa? Ini perkara serius. Saya amat sedih.

Kita harus mencari jalan keluar dari penyelewengan besar ini, sekarang juga.

Saya telah menulis buku, risalah dan banyak esei tentang kejatuhan Islam dan penyelewengan umat Islam. Tentu ramai orang telah membaca tulisan-tulisan ini. Di antara orang-orang yang telah membacanya tentulah termasuk kaum sarjana dan pemimpin-pemimpin politik dan agama. Mengapa mereka tidak bertindak dan mengambil langkah-langkah untuk mengatasinya? Mungkin kerana, dalam masa, katalah 100 tahun yang lalu, bermula dengan Jamaluddin al-Afghani (m. 1897) dan Muhammad Abduh (m. 1905), beberapa rumusan penyelesaian yang berbeza telah dikemukakan oleh berpuluh, mungkin beratus, orang sarjana dan cerdik-pandai yang telah mengkaji perkara ini. Mengapa belum diketemui jawapannya ?

Ini bermakna orang Islam sendiri keliru! Umat Islam di seluruh dunia sudah jatuh sejak lama. Tidakkah ini nyata ?

Ingat kembali amaran Tuhan yang jelas dalam Quran. "Rasul akan berkata: "Tuanku, umatku telah membelakangkan Quran ini. Demikianlah Kami wujudkan bagi setiap nabi musuh dari kalangan mereka yang berdosa. Tuanmu cukup sebagai pembimbing dan penolong." (25: 30-31). Dua ayat yang dahsyat ini wujud dalam Quran dari awal. Bermakna Tuhan Maha Mengetahui nampak kemungkinan umat Islam (zaman Nabi Muhammad) akan melakukan kesilapan yang sama, seperti umat-umat lain dulu, lalu, melalui mulut rasul-Nya Muhammad, mengeluarkan amaran besar ini. Mengapa tokoh-tokoh agama kita tidak memberi perhatian kepada amaran ini? Umpamanya, adat kita, di seluruh dunia Islam, melagukan Quran tanpa faham (bagi mereka yang bahasa Arab bukan bahasa ibunda) jelas melanggar peringatan ini. Bagi mereka yang bahasa Arab bahasa ibunda, mereka diajar supaya merujuk makna ayat-ayat Quran kepada golongan ulama (dengan bahasa lain, kasta paderi!). Kononnya, huraian para paderi ini cukup dan muktamad (istlahnya, ijmak ) !

Saya menulis dalam memoir saya, Mencari Jalan Pulang: “Tidak ada kaedah yang lebih pintar daripada ini untuk menyembunyikan Quran daripada umat Islam.”  Seperti yang diungkapkan oleh pegawai-pegawai raja dalam zaman feudal Melayu dulu apabila sesorang itu hendak dihukum: "Sudah sampailah takdir Tuhan kepada anda!" Yakni untuk disembeleh!) Demikianlah umat Islam sudah disembeleh kerana membuat kesilapan-kesilapan yang sama seperti masyarakat-masyarakat agama lain.

Dalam penyelidikan saya, apa yang dipanggil Hadith atau Sunnah itulah punca utama penyelewengan umat Islam. Quran dibuat buku nyanyian; Hadith dibuat buku pegangan! Selepas itu, umat Islam mewujudkan suatu kasta paderi (disebut ulama), yang tiada dalam ajaran Islam yang asal)) untuk mentafsirkan agama bagi mereka, seperti orang Yahudi, Kristian dan Hindu. Kemudian mereka pisahkan ilmu kepada dua kelompok yang berlainan: ilmu agama dan ilmu dunia.

Ketiga-tiga faktor ini menjaminkan mereka akan kekal terperangkap dalam penjara yang mereka bina sendiri! Malang seribua kali malang! Mereka anggap penjara itu istana yang cantik! Mereka bangga duduk di dalamnya !

Kalau saya hendak menceritakan ini semua dengan terperinci, saya kena tulis sepuluh jilid. Malangnya, saya tidak ada masa. Kita semua pun tidak ada masa. Kita perlu keluar dari penjara ini dengan segera. Nasib baik Quran, satu-satunya buku yang dijamin oleh Tuhan terpelihara daripada korupsi, masih ada pada kita. Quran akan datang balik kepada kita dan kepada seluruh dunia. Inilah yang akan mengeluarkan kita dari penjara dan akan menyelamatkan kita daripada kemusnahan besar yang menanti.

No comments:

Post a Comment