Anak pasangan Malaysia dakwa dipukul berulang kali


Rakyat Malaysia, Azizul Raheem Awalluddin dan isterinya, Shalwati Nurshal didakwa memukul empat anak mereka berulang kali, termasuk kes terbaru ini.

Pasangan berkenaan, kini dalam perbicaraan di Mahkamah Daerah Solna, Sweden atas dakwaan memukul empat anak mereka.

Akhbar Sweden, The Local melaporkan kenyataan kanak-kanak itu membuktikan Shalwati kerap memukul mereka berulang kali.

"Saya dipukul di belakang dan kaki," memetik laporan The Local berdasarkan kenyataan salah seorang kanak-kanak berkenaan.

"Kemudian telinga saya dicubit dan memukul saya di kepala.

"Saya sudah biasa dipukul ibu," kata anaknya yang lain, dan berkata dia tidak lagi merasa sakit kerana kerap dipukul.

Akhbar The Local melaporkan kanak-kanak itu berkata, mereka dipukul sejak beberapa tahun lalu menggunakan tali pinggang, penyangkut pakaian dan kayu.

Shalwati bagaimanapun menafikan tuduhan berkenaan dan hanya memukul anaknya sekali.

Shalwati didakwa atas kesalahan keganasan terhadap integriti kanak-kanak tersebut.

Azizul turut didakwa atas dakwaan sama.

Sementara itu The Star melaporkan anak sulung pasangan itu berkata, mereka dipukul lebih 1,000 kali dalam setahun.

Dalam video yang direkodkan polis, Ammar berkata, Shalwati sering memukulnya apabila dia menjawab, menghentakkan kaki untuk menonton YouTube dan enggan makan malam bersama keluarga.

"Saya rasa lepas ini ibu bapa saya tidak suka saya lagi," kata Ammar dalam video itu.

"Saya risau mereka akan pukul saya jika tahu saya tidak ke sekolah," katanya.

Polis menjalankan soal siasat  dengan Ammar ketika sesi persekolahan dengan kebenaran pembantu pengetuanya.

Dalam video tersebut, Ammar menerangkan tiga insiden dia dipukul, pertama ketika memainkan muzik dengan kuat sedangkan ketika itu dia harus melakukan kerja sekolah.

Kedua, ketika dalam kereta untuk ke sekolah dan bergaduh dengan adiknya Aishah.

Ketiga ketika dia belajar Al-Quran dengan ibunya.

The Star melaporkan Azizul dan Shalwati kelihatan geram ketika menonton video tersebut.

Shalwati dilihat mengigit bibirnya dan Azizul menundukkan kepala dan menggosok batang hidungnya.

Ammar mendakwa adik beradiknya turut dipukul walaupun dia yang memulakan masalah.

Walaupun Ammar berulangkali mengatakan dia layak menerima hukuman, polis wanita ketika sesi berkenaan berkata walau apa pun kanak-kanak itu lakukan, undang-undang Sweden melarang tindakan berkenaan.

Anak bongsu pasangan berkenaan, Arif berkata, Azizul mencubit lengannya dan Shalwati memukulnya menggunakan penyangkut pakaian dan kayu dengan simpulan di hujungnya.

Pihak pendakwa kemudiannya mendapati kayu itu adalah rotan setengah kaki panjang.

Sweden menguatkuasakan hukuman sejak 1979. Mereka yang didakwa bersalah boleh dihukum penjara sehingga enam tahun