Status Sabah dan Sarawak tidak sama taraf dengan negeri lain


 

Rakyat Sabah dan Sarawak tidak setuju dengan kenyataan Ketua PKR Sabah dan Sarawak, Datuk Lajim Ukin dan Baru Bian yang menuntut rakyat untuk mengundi Pakatan Rakyat (PR) dan bukannya berpisah.

Laman Facebook yang dikenali ‘Dayak People Educated’ (DPE) telah mengeluarkan kenyataan bahawa berpisah dengan Persekutuan Malaysia adalah  jalan yang terbaik dan PR perlu sedar siapa yang menjadi pengkhianat.

“Sampai bila nak tunggu PR menang? Saya tidak setuju dengan kenyataan Baru Bian yang mengatakan berpisah dengan Malaysia itu adalah

satu pengkhianatan. Persoalannya siapa khianat siapa sebenarnya?”, tulis satu  kenyataan yang dikeluarkan oleh Dayak People Educated.

Sehingga kini, halaman DPE mempunyai 38,571 ‘Likes’.

Pengguna Facebook Sabah dan Sarawak, memberi reaksi menyokong dan menyifatkan kerajaan persekutuan telah menafikan hak Borneo selama 50 tahun.

“Status Sabah  dan Sarawak tidak sama taraf dengan negeri-negeri Tanah Melayu, dan kerajaan Persekutuan perlu kembalikan status Sabah dan Sarawak sebagai negara,” ujar Maxnicol Sevenup

Sementara itu, Kennedy Joseph berkata PKR sepatutnya keluar dari Sabah dan Sarawak.

“Saya bukan pro BN tetapi saya nak parti tempatan untuk berkembang bukan diimport dari Malaya,

“DAP dan PKR sama juga dari sana jadi apa bezanya dengan BN? Kita masih dijajah oleh mereka dari sana, jangan mengagungkan sangat parti-parti dari Malaya ni, semua sama saja, untuk kepentingan sendiri dan suka bermain politik kotor,” tegas beliau.

Clave Perez Lking menambah, “Pemimpin Sabah Sarawak mengatakan bahawa pengkhianatan jika berpisah dengan Persekutuan Malaysia, sebenarnya pemimpin yang telah melakukan pengkhianatan kepada rakyat mereka,”

Pemimpin PR semalam memberi cadangan penduduk Sabah Sarawak yang tidak puas hati dengan janji palsu Putrajaya perlu mengeluarkan BN dari negeri mereka untuk menuntut autonomi penuh apabila Malaysia dibentuk pada 1963.

“Kita tidak boleh berpisah jika tidak kita akan dikenakan tindakan kerana melakukan pengkhianatan,

“Tetapi saya memikirkan kita boleh menyelesaikan masalah tersebut dengan pilihan raya bukannya berpisah,” tegas Baru Bian.

Sentimen keluar dari Malaysia semakin kuat dalam kalangan penduduk Sabah Sarawak dengan lahirnya kesedaran terhadap hak-hak yang selama ini ditutup.

Malah ketegangan agama dan kaum yang semakin meningkat meresahkan majoriti warga Borneo.

Wujudnya sebuah kumpulan di media sosial dikenali sebagai Sabah Sarawak Keluar Malaysia (SSKM) yang mempunyai 10,000 lebih ahli menguatkan lagi sentimen terbabit.