Melayu murtad masuk kristian kerana kemiskinan


Seorang pendakwah bebas, Wan Ji Wan Hussin mendakwa bahawa umat Islam murtad dan keluar dari ajaran Islam bukan kerana mereka terkeliru dengan penggunaan kalimah Allah oleh golongan bukan Islam.

Ia sebaliknya berlaku kerana individu – individu tersebut dibelenggu oleh kemiskinan. Lebih menghairankan ialah mereka juga tidak mendapat bantuan Pusat Zakat dan jabatan jabatan berkaitan Islam.

“Dakwaan bahawa seseorang itu murtad kerana keliru dengan kalimah Allah adalah kenyataan tidak berfakta.

“Setakat ini tiada laporan menyatakan seseorang murtad kerana keliru dengan penggunaan kalimah Allah oleh Kristian,” kata Wan Ji yang berkelulusan sarjana dalam bidang maqasid syariah.

“Ada gelandangan Islam masuk Kristian dengan rela hati tanpa dakwah Kristian kerana mudah menerima bantuan gereja,” tambah beliau yang pernah bertemu orang Melayu yang murtad secara rela hati.

“Mereka merasa seolah-olah seperti bola yang ditendang semasa memohon wang zakat,” kata beliau lagi.

Isu kalimah Allah hangat diperkatakan setelah Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan menghentikan penggunaan kalimah Allah oleh akhbar Katolik, The Herald dalam bulan Oktober tahun lalu.

Terbaru pada 2 Jan, Jabatan Agama Islam Selangor telah merampas 321 salinan Injil berbahasa Malaysia dan Iban iaitu Al-Kitab dan Bup Kudus.

Alasan yang digunakan ialah penggunaan kalimah Allah oleh golongan Kristian mencelarukan fikiran umat Islam dan memudahkan masyarakat beragama Islam murtad dengan memeluk agama Kristian.

Sehubungan dengan itu Wan Ji turut menyalahkan Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (Jawhar) kerana lebih serius memungut wang zakat tetapi liat dalam urusan pengagihan wang tersebut.

Dalam konsep asnaf, terdapat kategori mualaf fathul kuthub.  Menurut Wan Ji, selaras dengan semangat maqasid syariah,  Jawhar perlu menguatkan hati mualaf dan mendekatkan yang bukan Islam kepada Islam.

“Jika benar mereka menuruti maqasid syariah, kenapa banyak birokrasi dalam pengagihan wang zakat? Mengapa serius mengutip tetapi leka dalam pengagihan?” Wan Ji menyoal.

Pada bulan lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom mendedahkan bahawa kutipan zakat seluruh negara berjumlah dalam lingkungan RM 2 bilion yang digunakan antara lain untuk membantu mualaf, fakir miskin dan juga untuk pengurusan masjid dan surau.

Jamil berkata demikian ketika melancarkan sambutan bulan zakat peringkat nasional yang bertema “Transformasi zakat menyejahterakan ummah”.

No comments:

Post a Comment