Antara suara oportunis dan suara rakyat

 

Hakikatnya, setakat ini Datuk Seri Najib Razak masih memegang jawatan sebagai Perdana Menteri dan kerajaan Barisan Nasional tidak digulingkan pun oleh 10,000 rakyat yang membantah kenaikan kos kehidupan.

Soalan mudah, apakah himpunan Turun hanya sekadar turun dan selesai berhimpun lalu kembali semula ke rumah masing-masing dengan harapan menggunung kononnya Perdana Menteri akan mendengar keluh kesah 10,000 rakyat yang berhimpun ini, lalu serta merta akan turunkan harga, melupuskan GST, batalkan TPPA dan mengurangkan cukai individu dan menaikkan cukai korporat?

Apa hasilnya himpunan di Dataran malam tadi? Siapa yang menjadi populis dan apa pula jaminan yang harus diberikan kepada rakyat yang dikerahkan untuk mempopularkan perhimpunan ini?
Realitinya, inilah masalah yang menghantui demokrasi di negara kita.

Perhimpunan Bersih adalah nyata untuk mendesak Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) menjalankan pilihanraya yang adil dan telus. Soalnya, apa jadi dengan desakan Bersih terhadap SPR? Masih mendesak ataupun berehat seketika sebelum kembali mendesak dan menganjurkan Bersih 4.0 dengan menjadikan rakyat sebagai boneka untuk turun berdemo dan kemudian selepas beberapa jam berdemo, masing-masing bersurai pulang ke rumah?

Maka , jika ada perhimpunan Turun selepas ini walaupun dikatakan akan melibatkan lebih ramai lagi, percayalah yang golongan oportunis ini tidak lebih daripada menjadikan rakyat marhaen ini sebagai hamba abdi demi kepentingan karier politik mereka.

Sepatutnya, perhimpunan Turun ini adalah perhimpunan rakyat marhaen, maka soalnya mengapa ada kumpulan tertentu perlu memberikan kenyataan media seolah-olah mereka mewakili keseluruhan rakyat Malaysia yang tertindas dan ditindas oleh regim pemerintah?

Apakah suara pemuda ini hanya akan didengar apabila diwakili oleh puak pemuda yang berideologikan politik? Apakah para pemuda kita terlampau pasif hingga suara mereka perlu diwakilkan oleh golongan politikus dan oportunis? Apabila sudah ada kumpulan yang bersuara kononnya suara mereka mewakili suara rakyat, maka sudah tidak ada lagi unsur perjuangan bersama rakyat dalam suara mereka. Apa yang ada hanyalah berjuang demi secebis populariti politik yang didambakan oleh kumpulan tersebut.

Ini yang rakyat tidak faham sebenarnya. Perhimpunan aman Turun ini hakikatnya tidak mencerminkan suara rakyat sebenarnya kerana jelas bukan suara rakyat yang didengari, sebaliknya menjadi platform kumpulan tertentu untuk melonjakkan nama mereka dalam karier politik dan mungkin juga mempunyai motif untuk mempersiap diri hadapi Pilihanraya Umum ke-14 sebagai calon Yang Berhormat.

Bagi golongan  oportunis ini, andalah sebenarnya yang memberikan peluang kepada kerajaan Barisan Nasional untuk terus menghantui negara ini. Andalah yang sebenarnya meragut hak demokrasi tulen daripada rakyat marhaen. Wujudnya keadaan begini adalah rahmat buat Barisan Nasional kerana tahu perjuangan rakyat yang dipimpin oleh golongan oportunis ini tidak akan sampai ke Putrajaya.

Perhimpunan rakyat adalah milik rakyat. Perhimpunan rakyat tidak seharusnya didasari ideologi mana-mana parti politik mahupun individu yang mahukan undi popular. Perhimpunan rakyat biarkan rakyat bersuara. Saya ulang, biarkan rakyat yang bersuara dan bukannya para oportunis !

No comments:

Post a Comment