Ayam masak merah meragut nyawa

http://www.kualalumpurpost.net/wp-content/uploads/2013/10/ayam-300x200.jpg 

 Yan – “Saya melihat anak (Mohd Nor) begitu berselera menikmati ayam masak merah di rumah kenduri itu sebelum dia mula mengadu sakit perut, pening kepala dan muntah sejurus pulang ke rumah.”Itu kata-kata yang diluahkan Yusuf Arifin, 50, bapa kepada Mohd Nor Rahmat, 11, yang meninggal dunia dipercayai keracunan makanan, kira-kira jam 1 tengah hari semalam, selepas menghadiri majlis kenduri kahwin kenalannya di Kampung Huma, Tanjung Dawai, Sungai Petani, di sini, pada Sabtu lalu.Yusuf berkata, dia juga menikmati hidangan ayam masak merah bersama gulai ikan talang di rumah kenduri itu, namun tidak mengalami masalah cirit-birit seperti anaknya.

Menurutnya, anaknya mengadu sakit perut dan pening selepas pulang dari majlis berkenaan dan berikutan itu, dia meminta anaknya supaya berehat dan tidak membenarkannya ke sekolah sejak kelmarin kerana menyangka ia hanya sakit biasa.“Dia (Mohd Nor) mengalami cirit birit tidak henti-henti dan dalam pada masa sama, saya juga ada mengalami cirit-birit, tetapi tidak seteruknya.“Apabila melihat keadaannya semakin teruk kerana begitu lemah, pagi tadi (semalam), saya bersama isteri (Norma Khalid, 45) terus membawanya ke Hospital Yan untuk rawatan.

“Dia memang sudah tidak sedarkan diri sewaktu berada dalam kereta sepanjang perjalanan dan doktor mengesahkan dia sudah meninggal dunia sebaik tiba di hospital,” katanya kepada Metro.Sementara itu, Norma berkata, keadaan anaknya semakin lemah apabila tidak berhenti keluar masuk tandas pada malam Sabtu lalu selain turut mengadu pening kepala.

“Saya memang bercadang membawanya ke hospital hari ini (semalam) kerana keadaannya semakin lemah, tetapi tidak sangka pula keadaannya bertambah kritikal sewaktu dalam perjalanan ke hospital. Dia kemudian tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital.“Arwah memang suka makan kerana berbadan besar. Dia menunjukkan perubahan apabila tiba-tiba bertukar menjadi pendiam sejak tiga hari lalu.“Saya memang tidak menyangka arwah akan pergi buat selama-lamanya kerana dia adalah seorang yang ceria, dan tidak menduga keracunan makanan yang dihadapinya membawa maut,” katanya.

No comments:

Post a Comment