Perubahan patut bermula dengan Najib bersara secepat mungkin

 

Tugas rakyat ialah untuk membina negara ini menjadi negara yang bermutu rakyatnya, tinggi tahap ekonominya, bersih daripada rasuah dan penyalahgunaan kuasa dan mengikut apa termaktub dalam Perlembagaan yang tertulis sebelum kemerdekaan dahulu.

Kepimpinan sekarang tidak melalui kesusahan seperti yang terdahulu daripada Dr Mahathir Mohamad memimpin. Mereka ini hanya menjahanamkan apa yang terbentuk semasapPra Dr Mahathir dahulu. Yang kita nampak hanyalah pembangunan ‘material’ dan fizikal yang sangat mahal sahaja. Tidak nampak pembangunan ‘mental’ manusia, malahan mentaliti kita di Malaysia tidak ubah seperti mentaliti manusia di Afrika sahaja.

Yang terbentuk pemimpin kita hanya pemimpin yang bermentaliti ‘orang darat’ berglamour’ dan bersuka ria dengan membelanjakan wang rakyat secara ‘lavish’ seolah-olah wang itu dipetik daripada pokok sahaja. Tidak boleh nampak duit dan harta, air liur mereka akan meleleh seperti anjing nampak tulang.

Pemimpin yang berkelakuan seperti ‘orang baru turun dari bukit’ ini selalunya akan berbelanja banyak. Mereka baru mendapat peluang berbelanja. Mereka akan cuba untuk menaiki tangga sosial tanpa had waima dengan menggunakan wang rakyat yang banyak. Jika tidak mempunyai kelayakan untuk menggunakan jet, mereka akan menggunakan Kabinet untuk meluluskannya. Yang penting, bagi mereka hidup ini sementara dan tidak lama, ‘kita balun cukup-cukup sementara kesempatan ada’.

‘Orang yang baru keluar dari bukit’ ini jika diberikan kuasa dan pengaruh, mereka akan menggunakan kesempatan untuk menunjuk-nunjuk kerana mereka ini selalunya banyak sangat perkara yang hendak mereka tutupi. Mereka seperti ini, jika baru mendapat kekayaan, mereka inginkan semua orang tahu mereka kaya dan berpengaruh dan mereka selalunya amat suka diampu. Mereka akan melayan orang yang selalu memberikan ‘amusement’ daripada pengampu di keliling yang ingin mendapatkan keuntungan daripada sifat mereka yang ‘ulu’ itu.

Tun Sharifah Rodziah, Tun Rahah, Tun Suhaila dan Tun Hasmah merupakan isteri-isteri perdana menteri yang disukai ramai kerana sifat kewanitaan mereka dan tahu untuk meletakkan diri mereka kena pada tempatnya. Jika kita kaji latar belakang mereka yang saya bariskan ini, mereka adalah daripada keluarga elok cara didikan keluarga mereka. Mereka ini sudah biasa dengan hidup dalam keluarga ‘aristokrat’ lama dahulu yang mempunyai ‘magnanimity’ yang tinggi.

Lahir sahaja mereka ke dunia ini mereka sudah berada di tahap ‘sosial’ yang tinggi dan tidak perlu melakukan perkara pelik yang dibenci orang. Isteri-isteri atau wanita-wanita yang saya sebutkan tadi tidak perlu menunjuk-nunjuk dan mereka tidak perlu hendak memberitahu apa mereka ada. Wanita-wanita yang saya sebutkan ini, jika mereka memakai pakaian yang murah pun akan nampak sebagai pakaian mahal-mahal.

Itu sebabnya semasa mereka menjadi wanita kepada ketua kerajaan tidak ada isu menjolok mata yang mereka lakukan secara terbuka. Kehidupan mereka begitu ‘natural’ dan tidak memerlukan orang di keliling untuk mengampu dan tidak pula mempengaruhi kerajaan untuk meluluskan apa-apa kerana itu bukan bidang yang mereka perlu terlibat. Mereka tidak mempengaruhi Kabinet untuk meminta penerbangan jet eksekutif kerana jika mereka lakukannya, belum tentu Kabinet di zaman itu akan meluluskan permohonan itu. Kabinet dahulu mempunyai pengaruh ke atas perdana menteri dan tidak mudah untuk memikirkan melakukan kerja tidak baik itu.

Tetapi Kabinet sekarang adalah ‘subservient’ kepada isteri perdana menteri kerana mereka tahu perdana menteri akan sentiasa menyebelahi isterinya tanpa memikirkan baik buruknya.

Dalam negara menghadapi krisis kewangan yang kronik sekarang ini, perbelanjaan yang ‘unnecessary’ untuk isteri perdana menteri ini amat memeritkan jiwa untuk menerimanya. Najib sibuk sekarang melakonkan watak ‘bersama rakyat’ sedangkan apa yang sebenarnya beliau lakukan adalah sebaliknya.

Najib masih berbelanja dengan boros dan beliau mengatakan yang kenaikan kadar tol dan tarif elektrik tidak dapat dielakkan. Tetapi hakikatnya masalah kewangan yang kita hadapi sekarang ialah kerana pengurusan kewangan tidak baik dengan keborosan yang tidak ada hadnya.

Itulah sebabnya dalam posting lalu saya secara terbuka meminta serta memohon Najib diberi petunjuk dan akhirnya meletakkan jawatan yang beliau pegang sekarang ini agar beliau hidup dalam ketenangan tanpa sumpah seranah rakyat.

Najib ini sebenarnya adalah setaraf dengan pimpinan yang lain seperti Muhyidin, Zahid, Shafie Apdal, Anwar Ibrahim, Tengku Adnan dan semua yang dibariskan dalam Majlis Tertinggi Umno itu. Nama-nama ini wajar memberikan laluan kepada mereka yang lebih berkemampuan dan berwibawa untuk membawa negara maju ke depan dengan lebih jauh lagi.

Janganlah berpaut lagi kepada ‘kuasa pinjaman’ itu. Rakyat terseksa dan jangan lupa, doa rakyat yang terhimpit selalunya terkabul.

“PM Najib! Start in motion the move for change now. You can kick start the move with your own resignation.”

No comments:

Post a Comment