Seniwati Azean Irdawaty meninggal dunia

 
 
SELEPAS beberapa tahun bertarung dengan penyakit barah, seniwati tanahair Azean Irdawaty, 64 tahun telah menghembuskan nafasnya yang terakhir di Pusat Perubatan Universiti Malaya di Kuala Lumpur pada 7.29 malam tadi.

Azean dimasukkan ke pusat perubatan itu mulai seminggu lalu dan dilaporkan mula berada dalam keadaan kritikal selepas mengalami komplikasi hati sejak Isnin malam lalu.
 
"Dia mula tidak sedarkan diri sejak tengah malam Isnin," kata Faisal Mustaffa, teman rapat keluarga seniwati itu.

Menurut Faisal, ahli keluarga Azean serta beberapa teman rapat keluarganya kelihatan berada di hospital sejak petang Selasa.

"Ahli keluarganya sangat tabah kerana arwah telah mula menderita sejak lapan tahun lalu," tambah Faisal lagi.

Seniwati itu mula menghidap penyakit barah payudara, namun keadaanya mula serius apabila barah itu mula menjangkiti bahagian otaknya. Azean juga turut menderita dengan lymphedema yang dihidapi akibat dari penyakit barah itu.

Sejurus selepas seniwati itu meninggal dunia, jenazahnya telah dibawa pulang ke kediamannya di Bandar Utama, Petaling Jaya.

Sewaktu hayatnya, anak seni berbakat besar ini pernah membintangi lebih 20 filem dan pernah merakamkan album. Beliau juga pernah dianugerahkan beberapa anugerah filem di peringkat tempatan dan antarabangsa.

Seniwati itu mempunyai tiga orang anak termasuk Khaeryll Benjamin Ibrahim atau lebih dikenali dengan nama Benjy yang juga merupakan seorang pelakon.

2 comments: