Barang naik : Apa khabar pengundi BN ?

 
Menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, berbulan-bulan lamanya pemimpin Umno/BN melontarkan pelbagai janji pihan raya - yang disebut 'BN: Janji Ditepati' di merata ceruk rantau, khususnya di kawasan luar bandar.

Selain kempen habis-habisan di televisyen dan media yang mereka miliki, mereka juga mangadakan pelbagai majlis besar dan kecil di perkarangan masjid, di dewan serbaguna, di mana saja dengan membawa pelbagai habuan . Malah masuk ke rumah-rumah orang kampung memberitahu rakyat janji dan murah hati Umno/BN kepada rakyat.

Pemimpin Umno/BN benar-benar dilihat oleh rakyat yang kurang betfikir, sangat murah hati, maka itu merekapun, percaya janji Umno/BN ini. Tidak menjadi rahsia lagi, bahawa pengundi luar bandar ini sangat percaya. Ini kerana pengundi di kawasan ini, majoritinya, tidak ada ekses internet atau media alternatif yang lain, melainkan media tradisinal dan saluran televisyen biasa.

Antara lain, Umno/BN berjanji, harga barangan keperluan - gula, minyak dan barangan lain akan kekal seperti yang sedia ada, tol tidak dinaikkan, demikian juga tarif elektik akan kekal seperti sedia ada.

Di luar bandar ketika itu, Umno/BN kelihatan tidak ada masalah untuk mendapat sokongan. Bagaimanapun BN melihat ada masalah dengan pengundi bandar yang mempunyai akses kepada media baru. Maka itu, janji mereka tidak mudah diterima, berbanding dengan pengundi di luar bandar. Tetapi ada juga kelihatan sokongan kepada Umno/BN di kalanggan golongan generasi lama di bandar.

Dalam keadaan orang luar bandar, malah sesetengah orang bandar sendiri pun, percaya dengan janji itu, maka BN pun menang walaupun hanya mendapat 47% undi popular.

Kini apa yang terjadi ialah 4,5 bulan selepas PRU hampir semua barangan keperluan naik harga dan rakyat merasakan kehidupan mereka sangat tertekan. Semua golongan rakyat, kecuali golongan elit dan super mewah, merasakan peritnya dengan kenaikan harga barang ini.

Lebih-lebih lagi menjelang permulaan tempoh persekolahan dibuka beberapa hari lagi di mana ibu bapa terpaksa menyediakan belanja untukpelbagai persiapan persekolah anak.

Bagi anak muda juga sangat tertekan memikirkan hal ekonomi negara. Saban hari mereka menghadapi harga makan minum yang mahal, harga rumah mahal, sewa rumah mahal, harga kereta mahal, tambang bas dan teksi mahal. Hendak belajar perlu berhutang, hendak berniaga tiada modal, hendak bekerja peluang terhad, hatta hendak berkahwin terpaksa meminjam.

Tidak cukup dengan itu, pengumuman yang sangat merunsingkan - kenaikan 20 sen harga petrol selepas 4 bulan pilihan raya, harga gula diumum naik 34 sen selepas 5 bulan pilihanraya, tarif elektrik diumum naik 15% selepas 6 bulan pilihan raya dan terkini dijangka tol lebuh raya pula mahu dinaikkan, demikian juga cukai pintu di KL hendak dinaikkan.

Semua maklumat mengenai kebejatan ekonomi dan kenaikan harga barang ini diketahui dengan cepat oleh majoriti rakyat walaupun media yang dikuasai Umno/BN tidak melaporkannya. Ini kerana sudah ada media baru, media alternatif – laman sesawang, tweeter, facbook, sms dan pelbagai lagi yang menghantar maklumat cepat. Ini yang tidak disedari oleh orang Umno/BN, kerana mereka ketinggalan zaman.

Dengan situasi ekonomi yang buruk ini, keluh anak-anak muda, ada senarai rasionalisasi (baca: pengurangan) subsidi yang diumumkan, belum dikira dengan yang bakal diumumkan, ditambah pula dengan peniaga yang menaikkan harga barangan kerana kos pengangkutan akibat minyak naik. Semuanya ini dilakukan hanya beberapa bulan selepas PRU Mei lalu.

Bagaimana dengan janji BN yang berdegar-degar menjelang pilihan raya untuk tidak membebankan rakyat. Adakah kenaikan harga barang keperluan ini tidak membebankan rakyat ?

Bagaimana pula dengan penyong dan pengundi Umno/BN dalam PRU yang lalu. Adakah mereka tidak terkesan dengan kenaikan harga barang sekarang? Adakah mereka semuanya golongan elit atau super mewah yang tidak sedikit pun terjejas dengan kenaikan harga barang ini. Apa khabar mereka sekarang ?

Adakah penyokong dan pengundi BN ini akan berkata "kenaikan harga barang sedikit saja", sama dengan jawapan orang besar politik negara yang bersilat lidah mempertahankan kedudukan ekonomi yang merosot sekarang dengan alasan tidak munasabah.

Malah ada menteri yang mengeluarkan hujah dangkal, memalukan dan memperlihatkan tidak cerdik, seperti berkata: "Kalau tak mahu kena tol, pakai jalan alternatif (jalan lama)." Dan ada orang besar kerajaan yang berkata, "Kurangkan makan gula, kerana gula naik harga. Jangan guna kereta, kerana minyak naik harga." Dan banyak lagi kata-kata yang menggambarlan rendahnya  cara berfikir mereka.

Malangnya, inilah dia para pemimpin BN yang menang dalam PRU lalu, sementara ada yang menjadi menteri melalui kedudukan sebagai senator bukan melalui pilihan rakyat.

Sepatutnya kerajaan dan para menteri yang lebih dulu berjimat, namun sekarang ini rakyat lebih dulu merasakan kesannya dengan kenaikan harga barang. Sementara itu, dalam kegawatan akibat kenaikan harga ini, timbul pula masalah Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST)  yang dijangka menambah beban rakyat. Menurut pemimpin Pakkatan Rakyat, cukai GST yang akan dilaksanakan pada April 2015 jelas bersifat zalim dan tidak adil menurut konsep Islam.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, berkata GST ternyata bercanggah dengan konsep adil dalam Islam kerana mengenakan cukai kepada semua orang tanpa mengira kaya atau miskin.

Perlu difahami, katanya, konsep adil mengikut Islam (adalah) bukan semua orang kena. Konsep adil mengikut Islam (adalah) mereka yang mampu mengikut kemampuan masing-masing.

"GST ini, yang beli gula satu lori, yang beli gula satu kilogram, semua kena bayar cukai. Ini satu konsep yang salah," katanya sewaktu berucap di majlis pelancaran Kempen Faham GST, Tolak GST di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, baru-baru ini.

Beliau berkata,kerajaan juga wajib menetapkan harga tidak membebankan rakyat jika berlaku cukai melibatkan kenaikan harga barang keperluan asas yang diguna oleh semua golongan masyarakat.

Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat meminta perdana menteri mengadakan sidang khas Parlimen untuk membahaskan masalah yang berkait dengan rakyat tanpa mengira kerajaan dan pembangkang. Biar ahli-ahli Parlimen bebas memberi pandangan mereka.

Turut berucap malam itu ialah Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Penasihat DAP, Lim Kit Siang; Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali; Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad serta wakil-wakil NGO dan aktivis yang menentang pelaksanaan GST.

Dalam keadaan ekonomi yang gawat diakibatkan oleh perbuatan rasuah, ketirisan dan sebagainya, serta ketika terserlah janji BN tidak ditepati, kita wajar bertanya kembali kepada mereka yang mengundi BN dalam PRU yang lalu, "Apa khabar dengan kenaikan harga barang ini. Setuju juga?"

No comments:

Post a Comment