Selamat Tahun Baru : Menanti 2014 yang lebih mahal

 

Akhirnya tirai 2013 berlabuh untuk memberikan laluan kepada kedatangan 2014. Apakah tahun baru akan menjadi lebih baik buat kita ? Kita hanya boleh berharap.Harapan menyebabkan manusia terus hidup.Tanpa harapan sudah pasti ramai yang terjun dari bangunan atau menggunakan pelbagai cara lain untuk menamatkan riwayat mereka.

Paling penting apa yang kita pelajari daripada peristiwa-peristiwa berlaku sepanjang 2013 untuk lebih mendewasakan minda kita.Suka atau tidak 2014 akan menjadi tahun yang lebih mahal buat kita.Tidak ada lagi yang murah-murah walaupun gaji kita masih terus rendah.

Di kala kita sedang pening mencongak apakah kita mampu meneruskan kehidupan di Malaysia pada tahun akan datang, terdapat isu lain yang diperbesarkan oleh media-media arus perdana.Sepanjang dua minggu ini, tidak adalah cerita lain selain “perhimpunan menggulingkan kerajaan pada 31 Disember.”Membaca akhbar arus perdana dan menonton siaran televisyen utama menyebabkan Penulis membuat kesimpulan bahawa mereka ini sudah jauh lari daripada kehidupan realiti majoriti rakyat Malaysia.

Dan kalaupun benar isu kerajaan bakal digulingkan pada malam ambang Tahun Baru ini digunakan media-media ini untuk mengalihkan perhatian orang ramai daripada siri kenaikan harga barang pada 2014, nampak sangat tidak bijaknya mereka.Promosi demi promosi yang diberikan secara percuma di televisyen-televisyen setiap malam bermula dua minggu lalu akan menyebabkan lebih ramai orang membanjiri Dataran Merdeka pada malam 31 Disember ini.

Apatah lagi kebanyakan orang termasuk penyokong-penyokong Umno dan Barisan Nasional (BN) turut marah dengan tindakan kerajaan memungkiri janji Pilihan Raya Umum 2013 (PRU13) untuk memberikan kesejahteraan hidup kepada rakyat jika menang.Perlu diingat, separuh daripada rakyat Malaysia menolak BN dalam PRU13 lalu. Golongan ini tidak akan mempercayai apa sahaja yang dihidangkan oleh media-media arus perdana.

Jika TV3 memomokkan perhimpunan 31 Disember ini, lebih 50% yang menolak BN pada PRU13 akan memikirkan sebaliknya.Ini yang gagal difikirkan oleh pemikir-pemikir kerajaan Malaysia. Bukan kerana mereka bodoh akan tetapi kerana golongan ini sudah berada terlalu jauh daripada realiti kehidupan majoriti rakyat.

Setakat ini sudah ratusan laporan polis dibuat oleh penyokong-penyokong Umno di seluruh negara untuk membantah perhimpunan 31 Disember.Sedarkah di kala mereka berpanas dan berhujan membuat laporan polis dan bantahan, pemimpin-pemimpin tertinggi parti mereka berseronok ‘bershopping’ di kota London ? 

Atau ini sebenarnya persediaan pemimpin-pemimpin tertinggi ini untuk terus menetap di luar negara sekiranya benar kerajaan akan digulingkan ?Bermula 1 Januari ini, wang kita semakin mengecil. Kalau tak percaya, pergilah ke pasar dan bawa RM100, berapa banyak yang boleh kita dapat dengan jumlah wang sebanyak itu?Bandingkan dengan berbelanja dengan RM100 di pasar pada tahun 2013. Banyak bezanya.Penulis akhiri tulisan ini dengan ucapan Selamat Tahun Baru kepada semua. Kalau panjang umur, sudah pasti kita bertemu lagi 2014 nanti.

No comments:

Post a Comment