Tidak berdosa orang Islam masuk ke gereja


Tidak berdosa orang Islam masuk ke gereja. Bukannya kita nak bersolat cara Kristian. Tetapi kerana stigma orang Islam tak mahu masuk gereja kononnya takut jadi Kristian itu sebenarnya bukti iman dalam diri tak kuat sampai tak yakin dengan kepercayaan sendiri. Takkanlah masuk gereja sahaja mudah-mudah iman kita hilang. Pelik.

Saya bukan liberal dan jauh sekali pluralisme tetapi satu pelajaran semasa saya ambil gambar sebuah perkahwinan di sebuah gereja di Petaling Jaya beberapa tahun lepas, pasangan pengantin siap jemput makan kerana makanan semuanya halal. Paderi gereja menasihati pasangan untuk ambil katering Islam jika ada tetamu muslim walaupun beberapa orang. Itu kerana, Orang Kristian boleh makan makanan Muslim cuma orang Islam perlu yang halal.

Saya sempat berbual dengan paderi berbangsa Cina berpendidikan PhD dalam bidang sains sebelum mendalami teologi. Beliau menyatakan, walaupun makanan kami ambil katering Melayu orang Islam masih takut dengan kami, mereka takut holy water dah dicampur dalam makanan dan buat mereka jadi kristian.

Beliau menyatakan bahawa kristian bukan satu agama paksaan yang menjerat orang lain untuk masuk Kristian. Saya sendiri menjamah dan makan kerana katering juga saya kenali dan makan dengan yakin sekali. Sampai hari ini saya masih Islam.

Satu yang membuka mata saya apabila paderi itu bertanya, mengapa orang muda seperti kamu tidak aktif untuk jadi orang kuat Masjid dan jadikan masjid pusat sosial, ekonomi, kebudayaan islam dan peradaban dan bukan sekadar tempat solat 5 waktu dan tempat orang bernikah kahwin dan kadang-kadang ceramah agama?

*Malu

Soalan itu menyentap saya. Lalu saya tahu bahawa gereja yang beliau jaga itu mempunyai fungsi sangat besar dalam masyarakat setempat. Dari tusyen percuma, peluang perniagaan, pembangunan sosial, aktiviti kemasyarakatan, bantuan kemanusiaan, perekonomian dan banyak lagi.

Orang Islam datang minta bantuan belajar pun kita beri walaupun mereka tak masuk Kristian. Tapi buat masa ini tak ramai pula yang begitu. Ramai takut kerana nanti takut kena minum holy water kemudian jadi murtad. Itu semua stigma yang salah.

Seorang rakan saya di Ipoh setelah kematian bapanya, projek hotel ayahnya terbengkalai selama 3 tahun dan syarikat mendiang ayah beliau sudah keputusan modal. Beliau yang aktif dalam aktiviti gereja membuat pengumuman rancangan perniagaan untuk meneruskan pembangunan hotel itu akhirnya berjaya mendapat pelaburan lebih 25 Juta dari ahli masyarakat sahaja.

Saya bukan suka nak buat perbandingan begini. Saya mahu kita (orang Islam) jadi yang terbaik dengan melihat contoh yang lebih baik. Islam itu Agama terbaik, maka kita sebagai muslim sepatutnya menggalang Islam sehingga menjadi lebih baik tanpa perlu sceptical dengan agama lain. Yang baik kita contohi, yang buruk kita hindari.

Buruk sangka dengan agama lain bukan ajaran nabi. Nabi sendiri melaksanakan jizyah bagi mereka yang masih mahu berpegang kepada agama asal masing-masing selepas Piagam Madinah. Selepas itu, orang islam dilarang sama sekali menyakiti mereka walaupun mereka tidak menerima Islam.

Kesimpulannya, jadikan masjid satu pusat komuniti setempat. Kembalikan fungsi masjid yang MENYATUKAN manusia bukan masjid yang memecahbelahkan manusia (Di kampung-kampung banyak surau PAS dan surau BN). 

No comments:

Post a Comment