Menghadapi hari esok yang segala-galanya naik


Kita akan menyambut musim-musim mendatang yang sangat mencabar sebenarnya. Bersempena tahun baru 2014 yang akan muncul dalam seminggu dua lagi, tidak akan ada yang turun, melainkan segalanya akan naik dan naik belaka.

Kos kehidupan yang sarat dengan beban, terpaksalah kita pikul juga demi memujuk hati yang kecewa kerana walau bagaimanapun juga, hidup perlu diteruskan !

Kita bukan hidup di tahun 70an, di mana jalan yang disediakan untuk kita hanya satu hala dan itulah yang kita pilih, samada suka mahupun tidak.

Hari ini kita diberi pelbagai pilihan, jalan alternatif mahupun yang konservatif. Hari ini juga kita semakin melihat panorama itu dari sudut yang tersurat mahupun tersirat. Hari ini masyarakat lebih peka dan bijak dalam membuat pilihan, untuk diri mereka juga untuk masa depan.

Adakah Kerajaan ada berfikir untuk meringankan beban kita ? Bayangkanlah dan inilah kenyataan betapa hebatnya sistem Kerajaan hari ini yang motif utamanya hanyalah ringgit dan keuntungan saja.

Sebab kalau Kerajaan fikir akan keselesaan para rakyat, Kerajaan akan permudahkan semaksimum yang boleh demi meringankan beban yang perlu dipikul. Ini mereka tambahkan lagi beban dan yang jadi mangsanya, kitalah !

Penulis bercerita tentang golongan marhaen. Penulis tidak mahu bercerita tentang mereka yang berpendapatan RM400 ribu sebulan atau RM700 ribu sebulan atau RM20 ribu ke atas. Apa yang Kerajaan faham tentang kesederhanaan dan hidup rakyat ?

Hari ini sistem yang disediakan oleh Kerajaan menjadi barang perniagaan yang menguntungkan. Inilah seronok dan nikmatnya bagi kita para warga marhaen yang tinggal di negara yang mengamalkan sistem kapitalis secara praktikalnya.

Segalanya menjadi halal serta suci dan kita diajar bersyukur juga disaran agar lebih berjimat cermat. Nak jimat macamana Penulis pun tak tahu lah, sebab jika kita ‘calculate’, memang akan lari ‘budget’.

Keluhan dan luahan Penulis ini hanyalah luahan seorang rakyat biasa, bukan ada kepentingan politik apa pun. Bila kita mengkritik, dikatanya kita ini pembangkang pula. Jadi susah untuk bercakap jujur di negara kita sendiri sebenarnya.

Apa yang jelas, kita sedang dan akan melalui fasa yang semakin sukar di masa depan. Jurang antara si kaya dan miskin itu semakin jelas untuk kita saksikan. Inilah nikmatnya hidup di era kapitalis, di mana yang kaya makin kaya, yang miskin semakin tersepit.




No comments:

Post a Comment