Kenaikan harga barang : Ada yang perlu dibangkang

 
Menjelang tahun baru 2014, banyak perkara yang menimbulkan bangkangan masyarakat terhadap kenaikan harga barang, eletrik, tol, dan sebagainya.

Tetapi bukan semuanya yang perlu dibangkang, kerana sememangnya menjadi persepsi umum bahawa apa-apa sahaja yang hendak dinaikkan harganya oleh kerajaan, maka kenaikan itu mestilah dibangkang.

Jadi, bangkangan hanyalah disuarakan, diprotes dan diheboh-hebohkan kerana kenaikan harga itu dibuat oleh kerajaan, maka bangkangan adalah semata-mata untuk membangkang kerajaan.

Daripada segi ini mungkin agak tidak adil kalau semuanya yang dilakukan oleh kerajaan itu seharusnya dibangkang. Rakyat seharusnya memberikan pertimbangan dan pemikiran yang saksama terhadap kenaikan harga barang sebelum bertindak membangkangnya.

Kenaikan harga barang yang amat minimum seharusnya disambut dengan pemikiran terbuka. Umpamanya ketika kita pergi minum di restoran nasi kandar, atau kedai kopi, sering kita mengalami bahawa minumun secawan atau segelas  teh tarik atau nescafe dinaikan sebanyak 5 hingga 10 sen, maka kita tentulah tidak akan menghebohkannya sampai ke dalam media baru, Facebook atau blog. Hal ini mungkin kerana kita memikirkan bahawa kenaikan itu adalah amat minimum dan kita tidak merasakan sangat bebannya.

Kita pergi ke kompleks beli-belah di dalam atau di luar negara, rakyat kita membeli-belah dengan mewah dan makmur, memborong dan berebut-rebut memilih barangan yang perlu, nampaknya rakyat kita amat mewah dan tidak sangat menghiraukan tentang harganya, walaupun mahal atau murah.

Tetapi kenaikan harga barang oleh kerajaan, walaupun seminimum begitu, sering menjadi isu nasional dan politik, dan sering menjadi berita besar di dalam media, terutamanya media baru, tentang kezaliman yang dilebalkan kepada kerajaan itu.

Kita mungkin dapat menerima kenaikan harga yang minimum itu, bukan kerana hanya kenaikan itu tidak sangat menjejaskan kantung kita, tetapi sebagai rakyat yang patriotik dan cintakan negara, kita seharusnya dapat menanggung sedikit pengorbanan terhadap pembangunan negara kita.

Kita sering membeli cakera padat dan permainan komputer bagi anak cucu kita, maka harganya sering meningkat agak tinggi dari masa ke semasa, tetapi kita tidak sampai mengajak rakyat bangun menentang syarikat yang menjalankan perdagangan itu secara besar-besaran, kerana hal ini dilakukan oleh syarikat perniagaan, bukan kerajaan.

Pendeknya, kita sering mengharapkan, kerajaan tidak seharusnya menaikkan harga barang, dan tidak sehaarusnya membina ekonomi negara atas keuntungan terhadap harga komoditi dan barangan atau hasil dan produk keluarannya yang disumbangkan oleh rakyat melalui sedikit kenaikan harganya.

Kita mungkin menutup mata sebelah terhadap kenaikan gaji yang diberikan kepada pegawai kerajaan, potongan cukai terhadap beberapa barangan yang diperniagakan, malah kita melupakan jumlah subsidi yang diberikan oleh kerajaan kepada kita semua dalam berbagai cara.

Kita melupakan hal ini kerana kita hanya ingin mendapatkan keuntungan untuk diri sendiri, dan dalam masa yang sama kita tidak langsung bersedia untuk membantu kerajaan dengan sedikit sumbangan kita.

Oleh itu, saya merasakan bahawa membangkang terhadap kenaikan harga oleh kerajaan haruslah dalam sempadannya yang tertentu, bukan terus mengambil kesimpulan bahawa kerajaan tidak seharusnya menaikkan harga apa-apa sahaja, dan kalau hal ini berlaku maka rakyat semuanya harus bangun memberontak.

Sifat dan sikap patriotik dan cintakan negara harus menjadi unsur dalam segala pertimbangan kita dalam hal ini, jangan hanya emosi dan sentimen perkauman atau politik sahaja yang dijadikan ukuran terhadap sikap kita mengenai hal ini seperti yang rata-ratanya berlaku pada hari ini.

Permainan politik sempit dan sentimen kepartian dalam negara kita kini amat merbahaya dan keterlaluan. Hal ini menjadikan permainan hitam putih yang sering memerangkap rakyat umum. Sedangkan ahli politik dan ketua politik sepatutnya lebih memainkan peranan lebih positif dalam hal ini, iaitu bukan semuanya yang dilakukan oleh kerajaan itu salah dan silap, ertinya bukan semua kenaikan harga barang dilaksanakan kerajaan itu semuanya keterlaluan, tetapi terdapat di antaranya yang seharusnya diterima rakyat dengan baik, guna memberikan sumbangannya kepada pembangunan negara sendiri  - Dr Ismail Ibrahim


No comments:

Post a Comment