Isu Perjanjian Persekutuan Malaysia

 

Akhir-akhir ini isu perhubungan yang tidak sihat di antara Persekutuan Tanah Melayu dengan Sabah dan Sarawak semakin lantang, dan masih tidak reda. Isu ini merupakan isu yang baru sahaja di buat secara terbuka dan rakyat, terutamanya di Sabah dan Sarawak mula menyedari dan ramai juga dari Semenanjung memahami situasi sebenar yang berhubung kait dengan penubuhan Persekutuan Malaysia 1963 dahulu.

Suara yang lantang semalam datangnya dari Tan Sri Dr James Masing, seorang Menteri Kanan Kabinet Sarawak yang menuduh pemimpin-pemimpin UMNO dari Putrajaya menyebabkan perhubungan di antara pimpinan Persekutuan dan Sarawak semakin buruk. Ini tidak sepatutnya berlaku jika mereka memahami semangat yang ada dalam pernubuhan Persekutuan Malaysia 1963 dahulu.

Masalahnya pemimpin-pemimpin UMNO terutamanya pemimpin-pemimpin yang muda yang berada di dalamnya tidak memahami semangat penubuhan dan perjanjian Persekutuan Malaysia yang baru itu.

Saya sendiri mengambil isu ini sebagai isu serius kerana apa-apa sahaja yang akan menyebabkan lunturnya perhubungan kerajaan Persekutuan dengan mana-mana kerajaan Sabah dan Sarawak akan menjadikan negara ini tidak aman dan tenteram. Bagi saya secara peribadi saya bersetuju dengan anggapan TS Dr James Masing yang Sabah dan Sarawak sebenarnya adalah ‘equal partners’ dengan Persekutuan Tanah Melayu yang terbentuk beberapa tahun sebelumnya.

Dr James Masing telah menyebut yang Sarawak adalah ‘equal partners’ dengan Semenanjung dan perhubungan di antara Sarawak dan Putrajaya tidak sepatutnya perhubungan di antara ‘master and servant’. Dr James Masing berkata di Kuching semalam yang menanda tangani perjanjian itu hanya empat orang sahaja, bukannya 11 atau 15 orang.

Maksud beliau itu ialah perjanjian itu di tanda tangani oleh empat orang pemimpin yang mewakili Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sabah dan Sarawak. Ia bukannya perjanjian di antara Sabah dan Sarawak, Singapura dengan kesemua negeri-negeri yang menjadi ahli kepada Persekutuan Tanah Melayu.

Semasa Singapura masih berada di dalam Persekutuan Malaysia, Lee Kuan Yew masih bergelar Perdana Menteri. Semasa itu ada dua Perdana Menteri di Malaysia, seorang Perdana Menteri Persekutuan, Tunku Abdul Rahman Putra dan seorang lagi Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew. Ini sahaja menunjukkan yang ketua kerajaan Singapura, Sarawak, Sabah dan Persekutuan Tanah Melayu ada perhubungan ‘Equal Partners’ dan Persekutuan Tanah Melayu sebagai ‘leading Partner’ di dalam Persekutuan Malaysia itu.

Justeru apa yang di sebut oleh Dr. James Masing itu adalah isu yang sangat relevan dan ia perlu menjadi pengetahuan umum oleh semua rakyat Malaysia. Semangat ini tidak ada dalam jiwa pimpinan UMNO khususnya yang muda-muda ini kerana bagi mereka politik ini hanyalah siapa yang menang dan siapa yang kalah sahaja. Yang menang ambil semua dan kalah hilang semua. Wang di gunakan untuk menjadi pemimpin dan apabila berjaya kerana wang ringgit tadi mereka menjadi pemimpin yang keliru, tidak memahami apa yang patut dilakukan setelah di pilih menjadi pemimpin hasil belian undi-undi tadi.

Bagi pandangan peribadi saya, Sarawak lebih mudah untuk melakukan pembetulan ini kerana sekarang ini Sarawak lebih hampir kepada perlaksanaan semangat Persekutuan Malaysia itu. Ini di sebabkan di Sarawak tidak wujud UMNO dan UMNO tidak akan sampai ke Sarawak sampai bila-bila kerana negeri Sarawak adalah ‘equal Partner’ dengan Persekutuan Malaysia.

Itu sebab dalam banyak hal Sarawak lebih bebas dari Sabah kerana BN di Sarawak itu adalah BN yang tidak dianggotai oleh parti-parti yang berada dalam BN Semenanjung. Malahan Sarawak mempunyai kekuatan yang lebih dari Sabah kerana Sarawak boleh bertindak untuk mencari pembetulan itu dengan mudah dengan tiadanya UMNO di negeri itu.

Di Sabah keadaannya berbeza sedikit kerana Sabah di hinggapi oleh penyakit yang begitu ‘contagious’ UMNO kerana parti itu (UMNO) telah masuk ke Sabah dengan tergesa-gesa pada tahun 1990 dahulu untuk menghadapi pilihanraya umum yang sangat genting bagi BN semasa itu.

Jadi jika ada pengaruh dan budaya UMNO yang kuat di negeri itu, ia tidaklah memeranjatkan kerana pemimpin-pemimpin USNO yang telah berpindah-randah semasa itu mengambil tindakan untuk kepentingan jangka pendek dengan membubarkan USNO dan menyertai UMNO yang baru sampai ke Sabah semasa itu.

Kerajaan BN Sabah terpaksa tunduk kepada kehendak pimpinan UMNO Persekutuan dan dari saat itu pimpinan BN Sabah adalah pemimpin yang ‘subservient’ kepada pimpinan UMNO dan BN Persekutuan. Itu sebabnya ketahanan atau ‘resilience’ politik bagi rakyat Sabah lebih rendah kerana budaya UMNO itu menusuk dalam perihal politik negeri itu. Dengan penyertaan UMNO di Sabah telah menguntungkan sebahagian kecil pimpinan Sabah yang telah meninggalkan parti masing-masing bagi menyertai UMNO pada tahun 1990 dahulu.

UMNO dan BN Semenanjung lebih mudah menundukkan pimpinan politik Sabah kerana rakyat Sabah telah membiarkan budaya kurang sihat yang di bawa UMNO ke negeri itu sejak 1990 dahulu. Saya masih ingat yang Sabah begitu kuat kedudukannya sebelum UMNO berada di negeri itu dan segala tindakan rakyat dan parti-parti parti politik di Sabah telah memberikan ‘consequence’ yang kuat dalam politik tanahair.

Sarawak dan Sabah mempunyai sebab tidak berpuas hati akhir-akhir ini dengan kerajaan Persekutuan. Mereka tidak dianggap ‘equal Partners’ oleh pimpinan Putrajaya sedangkan nyawa politik pimpinan di Semenanjung ini di selamatkan oleh rakyat dan pimpinan politik Sarawak dan Sabah.

Ketua Menteri bagi Sabah akan lebih kuat jika Persekutuan menganggap beliau sebagai ‘equal partner’ tetapi semangat itu di bunuh oleh kerana faktor UMNO sejak 1990 dahulu. Ketua Menteri Sabah tidak mempunyai ‘consequence’ yang besar dalam politik tanahair jika di bandingkan denga kekuatan dan ‘consequence’ Ketua Menteri Sarawak yang tidak di pengaruhi oleh UMNO dari Semenanjung.

Kalau hendak di katakan Sabah telah di jajah dalam kontek kita di sini, ia sememangnya ada sedikit kebenarannya kerana UMNO mempunyai wakil di setiap kawasan di Sabah dan sebahagian dari mereka telah menjadi Menteri Kanan di Putrajaya. Orang Sabah nampaknya berpuas hati hanya dengan di wakili oleh pemimpin-pemimpin yang berjawatan Menteri sahaja.

Itulah sebabnya Sabah mudah di pengaruhi oleh Putrajaya sehinggakan banyak perkara dan isu penting sebagai ahli Persekutuan Malaysia yang berstatus ‘equal Partners’ dalam Perjanjian Persekutuan Malaysia itu tidak terlaksana.

No comments:

Post a Comment