JPN enggan beri Mykad kerana warna kulit

 
Seorang ibu mendakwa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Perak enggan memberikan Mykad kepada anak perempuannya berusia 12 tahun hanya kerana warna kulit remaja itu berbeza dengan ibu bapanya.

V Kamlla, 60, mendakwa, pihak JPN bukan hanya mempertikaikan genetik anak tunggalnya itu malah meminta mereka menjalani ujian asid deoksiribonukleik (DNA) bagi membuktikan S Mahalachime anak kandungnya.

Menurutnya, dia kesal anaknya gagal memperoleh Mykad hanya kerana berwajah seperti masyarakat Tionghua sedangkan dokumen pengenalan itu amat diperlukan untuk membolehkan Mahalachime mendaftar di sekolah menengah.

“Kali pertama saya berkunjung ke JPN Perak di Pusat Transformasi Bandar (UTC) di sini bersama anak adalah dua bulan lalu.
Ketika berurusan di situ, pegawai bertugas mendakwa wajah anak saya macam Cina.

“JPN kemudian setuju mengeluarkan MyKad kepada anak saya tetapi enggan mencacatkan perkataan ‘anak perempuan’ (a/p). Kami tidak setuju cadangan itu,” katanya.

Kamlla yang berasal dari Taman Aman, Jelapang berkata, sijil lahirnya anaknya dirampas oleh pihak JPN dengan alasan satu inkuiri dan siasatan terperinci akan dilakukan berhubung situasi mereka itu. Katanya, dia kecewa status Mahalachime yang dilahirkan pada 9 Julai 2001 dipertikaikan sedangkan dalam sijil kelahiran tertera anaknya dilahirkan di sebuah klinik diiktiraf Kementerian Kesihatan Malaysia serta JPN.

Kamlla berkata, untuk menyelesaikan masalah tersebut, dia meminta bantuan Adun Buntong, A Sivasubramaniam yang kemudiannya berkunjung semula ke JPN Perak di Jelapang, baru-baru ini.

Katanya, dia lega apabila pihak JPN mengembalikan sijil kelahiran anaknya dan Sivasubramaniam telah berbincang dengan pihak terbabit bagi menyelesaikan masalahnya.

“Saya berharap pihak JPN dapat segera mengeluarkan MyKad kepada anak saya bagi mengelakkan timbul masalah lain pada masa hadapan,” katanya.

Sivasubramaniam pula berkata, pihaknya akan menunggu maklum balas daripada JPN yang dijangka diperoleh dalam tempoh terdekat.

“Bagaimanapun, jika maklum balas diterima tidak memuaskan, kami tidak teragak-agak akan merujuk perkara tersebut kepada panel peguam untuk mengkaji tindakan seterusnya yang perlu diambil keluarga terbabit,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam JPN, Jainisah Mohd Noor berkata, pihaknya telah menjalankan siasatan berhubung perkara tersebut dan memutuskan untuk mengeluarkan MyKad kepada pemohon dengan syarat-syarat tertentu.

Beliau berkata, bagaimanapun pihaknya tidak dapat mendedahkan mengenainya secara terperinci memandangkan mereka tidak dibenarkan mendedahkan maklumat peribadi seseorang.

Menurutnya, pemohon sepatutnya hadir ke pejabat JPN Negeri semalam bagi menyelesaikan masalah itu, namun dia gagal berbuat demikian, Menurut sumber Sinar Harian.

“Selain itu, kami ingin menafikan dakwaan bahawa pemohon diminta melakukan ujian DNA oleh pihak kami. Kenyataan itu tidak benar,” katanya menerusi satu kenyataan, semalam.

No comments:

Post a Comment