Kawasan mesti dibersihkan untuk menjauhi lalat berkeliaran

 

Isu yang dihadapi Peguam Negara nampaknya bertambah serius apabila bekas Pegawai Tinggi Polis Datuk Mat Zain Ibrahim, akan menjadikan akuan bersumpahnya dokumen awam.Ini kerana Putrajaya (Najib) tidak mengambil sebarang tindakan di atas akaun bersumpah beliau terhadap Gani Patail. Putrajaya menerima akuan bersumpah Datuk Mat Zain Ibrahim lebih sebulan yang lalu tetapi tidak nampak sebarang tindakan diambil ke atas akuan bersumpah itu hingga ke hari ini.

Akuan bersumpah Datuk Mat Zain itu mengandungi semua salah laku Peguam Negara dan apa yang dibayangkan setakat ini hanyalah kandungan dalam 2 daripada 31 muka surat akuan bersumpah itu.Jika ini berlaku, kita akan menghadapi satu lagi isu besar yang akan menjadi polimik di khalayak ramai dan ia dikatakan hanya sebahagian kecil daripada banyak lagi isu yang selama ini dilindungi oleh mereka yang mempunyai kuasa dan telah menyalahgunakannya.

Mahu tidak mahu, pembongkaran secara terbuka ini satu pengajaran kepada semua pesalah-laku seperti yang dituduh tidak akan dapat dilindungi selama-lamanya. Salah laku kita akan terbongkar juga akhirnya kerana masakan ‘bangkai gajah boleh ditutup dengan nyiru’ sahaja. Langkah terbaik bagi siapa yang telah melakukan atau melindungi jenayah itu ialah dengan bersara sahaja dan hentikan segala salah laku yang dilakukan.

Isu seperti ini hanya boleh diselesai dan dirungkai kembali oleh seorang Perdana Menteri yang mempunyai wibawa sahaja. Perdana Menteri yang sedang berkuasa mesti mengambil ‘accountability’ ke atas semua salah laku yang dilakukan penjawat awam tinggi negara. Tentulah apa yang terkandung dalam akuan bersumpah itu adalah perkara yang serius dan perlu mendapatkan tindakan segera daripada Putrajaya khususnya Perdana Menteri, Najib Razak.

Jika tidak masakan Datuk Mat Zain begitu serius dan telah berjuang tanpa henti untuk melihat Peguam Negara diambil tindakan kerana apa yang beliau anggap sebagai salah laku yang tidak boleh dilindungi lagi.Tiada seorang pun dalam kabinet negara memberikan reaksi terhadap apa yang berlaku itu. Dr Mahathir berkata beliau akan memberikan reaksi setelah membaca semua isi kandungan akuan bersumpah yang setebal 31 muka itu.

Dr Mahathir sendiri perlu membaca dengan teliti dahulu sebelum memberikan reaksi kerana Gani Patail telah menjadi Peguam Negara sejak pentadbiran beliau.Jika terbongkar kesemua kandungan akuan bersumpah itu ia akan menjadikan semua kesalahan yang dikatakan itu menjadi hak milik awam dan hanya memerlukan belanja RM5 sahaja untuk mendapatkan naskah setebal 31 muka itu.Saya sudah pastinya akan menjadi salah seorang yang akan berbelanja RM5 itu untuk membaca kandungan akuan bersumpah itu.

Jika jenayah yang dilakukan oleh penjenayah yang merampas anak kepada Sarah Joseph, Jumaat lalu, mendapat perhatian umum dan rakyat bersama-sama mencarinya, dalam kes akuan bersumpah ini juga sepatutnya mendapat reaksi yang sama daripada rakyat.Ia sepatutnya menjadi tanggungjawab rakyat untuk menangkap semua penjenayah yang telah melakukan salah laku seperti yang terkandung dalam akuan bersumpah Datuk Mat Zain itu.Ini penting kerana negara ini dipunyai rakyat dan berhak untuk melakukan apa yang sepatutnya untuk menyelamatkan daripada kehancuran hasil tindakan tidak jujur penjawat awam kita.

Selama ini, pemimpin-pemimpin kita dalam kerajaan begitu lalai dan mengambil segala-galanya ‘for granted’. Budaya dan sikap ini mesti dihentikan serta merta kerana negara ini perlu keselamatan dan rakyat adalah empunya negara ini. Negara ini bukan Perdana Menteri yang punya atau Dr Mahathir atau Gani Patail yang punya.Sesiapa sahaja yang pemimpin semasa berlakunya salah laku Gani Patail itu (jika benar) mesti mengambil ‘accountability’ dan wajar diambil tindakan juga. Oleh kerana ‘accountability’ yang bakal diambil oleh mereka dan pemimpin yang bertanggungjawab itu, maka masanya akan tiba di mana negara ini perlukan rombakan besar-besaran dalam hal politik dan kerajaannya.

Sumber salah laku pegawai tinggi kerajaan ini selalunya berpunca daripada kerajaan yang korup dan kotor. ‘Tikus dan lalat tidak akan berkeliaran di tempat yang busuk dan kotor’. Tikus-tikus dan lalat serta langau hanya akan berkeliaran di tempat kotor sahaja kerana mereka tidak boleh hidup di tempat yang bersih dan nyaman. ‘Ulat tahi hanya selesa hidup di dalam tahi’. Ia akan mati dan tidak boleh hidup dalam suasana bersih.Begitu jugalah pegawai atau pemimpin yang kotor tidak boleh hidup dalam politik yang bersih. Mereka juga seperti ulat tahi tadi. Lagi kotor suasana politik itu lagi selesa mereka hidup dengan suasana kotor seperti dalam tahi tadi.

Sekarang rakyat perlu melakukan pembersihan dan membuang tahi-tahi yang ada semata-mata untuk mengelak daripada kehadiran ulat-ulat tahi yang sudah sekian lama mengerumuni kita sejak berdekad dahulu.Selagi kita dikerumuni oleh ulat-ulat tahi dan lalat serta tikus-tikus yang kotor, selagi itulah jangkitan penyakit yang sedang menyerang ini tidak akan dapat diubati lagi.

Buang tahi-tahi itu maka tidak akan datang lagi ulat-ulat tahi yang kotor itu. Jika kita mahu menutup makanan kita dengan tudung saji, jangan pula dikurung lalat-lalat dan tikus bersama makanan yang ditutup tadi.Itu yang berlaku sekarang. Perasuah dan penyangak dikurung bersama dengan harta rakyat. Itulah sebabnya pemimpin yang bersih tidak akan kekal dan berada dalam Umno dengan mudah kerana parti itu dikerumuni ulat-ulat tahi yang sentiasa kelaparan - 12/11/2013 10:07 PM

No comments:

Post a Comment