MyKad mudah, kerja senang

 Foto
Mudah, murah dan dapat pekerjaan. Itu yang dijanjikan sindiket pemalsuan MyKad di Sabah kepada mana-mana warga Filipina yang masuk ke negara ini secara sah, tetapi mahu bekerja bagi mendapatkan wang.

Sindiket terbabit menawarkan RM200 untuk sekeping MyKad dan mereka dijanjikan gaji RM1,300 sebulan dengan bekerja sebagai pekerja kilang atau pengawal keselamatan di Semenanjung.

Dalam serbuan sebelum ini oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di lokasi sama di di SS8 Kelana Jaya, di sini, pada 13 November lalu, seramai 22 pengawal keselamatan warga Filipina ditahan kerana memiliki MyKad palsu.

Serbuan terbaru di tempat sama dan kawasan sekitarnya bermula jam 10 malam kelmarin, JPN bersama Jabatan Imigresen Malaysia dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) menahan 12 warga Filipina iaitu dua memiliki MyKad palsu, seorang meminjam MyKad orang lain dan selebihnya tidak memiliki dokumen pengenalan diri.

Seorang pemilik MyKad palsu yang menggunakan nama Sabar Mohd Nor, 19, berkata, dia mendapat MyKad berkenaan daripada seorang lelaki di Sabah dengan harga RM200.

“Saya tidak kenal dia (sindiket), kami hanya berjumpa untuk dapatkan MyKad,” katanya yang sudah lapan bulan bekerja pengawal keselamatan di kilang di Kelana Jaya.

Pengarah Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan JPN Wan Zakaria Wan Awang berkata, serbuan berkenaan dijalankan di kawasan kilang yang dipercayai mengambil pekerja warga asing selain menyerbu pangsapuri sama yang diserbu sebelum ini di SS8, Kelana Jaya yang dipercayai dijadikan asrama pengawal keselamatan oleh majikan mereka.

“Seramai 12 warga Filipina ditahan dalam serbuan ini dan semakan JPN membongkar MyKad mereka tidak wujud dan ada yang ditukar gambar.

“Selain itu, seorang lelaki warga Filipina yang ditahan turut didapati menggunakan kad pengenalan milik saudara isterinya bagi membolehkan dia bekerja sebagai pengawal keselamatan di sini,” katanya ketika ditemui.

Wan Zakaria berkata, hasil risikan dan maklumat yang diterimanya terdapat 80 orang di kawasan itu memiliki MyKad palsu dan pihaknya akan meneruskan operasi dari semasa ke semasa sehingga menahan semua mereka.

No comments:

Post a Comment